Pilih Insurans Kereta Yang Betul Sebelum Terlambat

Pilih Insurans Kereta Yang Betul Sebelum Terlambat

Penjagaan kereta yang rapi dan sempurna seperti pemasangan kamera papan pemuka depan dan belakang amat penting untuk memastikan keselamatan kereta dan pemandu. Pemanduan secara selamat juga penting untuk memastikan kita dan pemandu lain selamat tiba ke destinasi yang dituju.

Namun, kereta kesayangan kita akan tetap terdedah kepada risiko kemalangan dan kecuaian apabila berada di atas jalan raya. Jadi, boleh dikatakan tiba masanya untuk kita memerlukan pemahaman yang baik tentang jenis, kepentingan, dan manfaat insurans kereta.

Statistik kemalangan jalan raya

Menurut kajian Kementerian Pengangkutan Malaysia, kadar kemalangan di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam tempoh 10 tahun dan tiada penurunan kadar kemalangan jalan raya sejak tahun 2014.

Advertisement

Dalam kajian yang sama, Negeri Selangor mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi pada tahun 2018 dengan 163,078 kes. Daripada jumlah itu, 1,046 kes merupakan jumlah kematian jalan raya di Negeri Selangor sahaja dan menjadikan keseluruhan kematian jalan raya di Malaysia sebanyak 6,167 kes.

Pelbagai inisiatif dan usaha telah dijalankan oleh Polis Diraja malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Namun, kadar kemalangan dan kematian jalan raya masih berada pada tahap yang membimbangkan. Antara sebab-sebab utama berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia adalah kurang perhatian semasa memandu, memandu secara berbahaya, peningkatan jumlah kendaraan yang tidak selaras dengan pembangunan infrastruktur jalan raya, dan juga pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Jenis-jenis insurans

Bagi mengurangkan masalah dan bebanan yang mungkin kita hadapi jika kita terlibat dengan kemalangan jalan raya, akta Pengangkutan Jalan 1987 telah mewajibkan semua pemilik kenderaan di Malaysia untuk memiliki perlindungan insurans kereta. Terdapat tiga jenis insurans kereta iaitu (1) Insurans Pihak Ketiga, (2) Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian, dan (3) Insurans Komprehensif. Insurans-insurans ini disertakan bersama terma dan syarat yang berbeza mengikut syarikat insurans konvensional atau takaful.

Untuk pembacaan yang lebih menyeluruh tentang jenis-jenis insurans di Malaysia, sila rujuk di artikel ini.

5 tips penting semasa memilih insurans kereta

1. Jumlah yang anda bayar untuk polisi insurans

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan liberasi tarif insurans motor yang dikawal oleh institusi tersebut. Namun, sejak tahun 2017, usaha liberasi tersebut tidak lagi dikawal oleh Bank Negara Malaysia, dan sebaliknya ditentukan oleh syarikat atau pembekal insurans di dalam pasaran yang lebih luas dan fleksibel.

Adakah ini lebih menguntungkan syarikat-syarikat insurans kerana mereka tidak lagi terikat dengan peraturan dan tarif Bank Negara Malaysia?

Sebenarnya, langkah ini telah memberi lebih banyak peluang kepada syarikat dan pembekal insurans untuk memberikan harga insurans yang lebih berbaloi tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan untuk pemilik kenderaan. Anda boleh menyemak dan membuat perbandingan polisi insurans kerana semestinya anda akan merasai perbezaan di antara berlainan polisi insurans.

2. Manfaat sampingan mengikut polisi insurans

Salah satu perkara asas anda harus tahu adalah tentang manfaat sampingan yang mungkin diperolehi oleh pembekal insurans anda. Sebagai contoh, jika kereta anda rosak di tengah jalan secara tiba-tiba atau tidak boleh bergerak selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya, anda boleh menghubungi pembekal insurans untuk mendapatkan servis tunda kereta. Kebiasaannya, pembekal insurans anda akan memberikan servis tunda kereta secara percuma dengan jarak yang ditetapkan, mengikut polisi yang tertentu.

Juga, sesetengah pembekal insurans hanya menawarkan servis tunda kereta pada hari-hari yang tertentu sahaja atau tidak beroperasi pada hujung minggu. Ada juga yang menawarkan servis tunda kereta sepanjang tahun, jadi baca dan nilai polisi dan ketahui hak anda sebagai pengguna.

3. Cawangan bengkel panel insurans

Sekiranya anda membawa kereta ke bengkel yang bukan di bawah panel insurans, kemungkinan besar anda tidak akan dilayan untuk membuat tuntutan insurans dan pembekal insurans berhak untuk menolok tuntutan. Sebaliknya, anda sangat dinasihatkan untuk membawa kereta and ke bengkel panel insurans.

Oleh itu, carilah pembekal insurans yang menawarkan cawangan bengkel yang banyak dan strategik di seluru negara. Anda juga boleh meminta atau menyemak sendiri senarai penuh bengkel panel yang disediakan oleh pembekal insurans pilihan anda.

4. Insurans Takaful atau Konvensional

Kedua-dua konsep insurans ini berkongsi prinsip asas dan objektif yang sama, iaitu memberi perlindungan, jaminan, bantuan, dan ganti rugi kepada pemegang polisi dari sebarang kerugian dan bahaya jika berlaku kemalangan jalan raya.

Salah satu kelebihan insurans takaful adalah polisi ini patuh kepada prinsip Shariah. Insurans takaful bukan sahaja sesuai untuk umat Islam, tetapi sesuai untuk seluruh rakyat Malaysia. Kebanyakan pembekal insurans terbesar di Malaysia menawarkan insurans takaful yang anda boleh semak di sini.

5. Tahap kualiti dan servis pembekal insurans

Untuk memastikan wang yang anda belanja untuk polisi insurans berbaloi, anda harus memastikan pembekal insurans anda mengekalkan tahap kualiti dan servis yang bermutu. Contoh yang baik adalah apabila pembekal insurans anda mempunyai pekerja bijak dan bertanggungjawab dalam memberi bantuan kepada anda.

Perlu diketahui juga bahawa barang-barang tiruan termasuk alat ganti kenderaan telah banyak diguna pakai semasa membaiki kerosakan kenderaan. Jadi, pilihlah pembekal insurans yang menggunakan alat ganti asli dan tulen.

Kita mungkin menganggap diri kita sebagai pemandu yang berhemah, tetapi tidak semua pemandu jalan raya di Malaysia adalah pemandu yang berhemah. Jadi, sediakan payung sebelum hujan, supaya anda bersiap sedia menghadapi kesukaran yang tidak dijangka. Lakukan persediaan dengan membeli insurans kereta yang tepat dan betul untuk kenderaan anda.

Anda boleh lihat dan bandingkan pelbagai jenis insurans kereta di Malaysia dan mohon secara percuma melalui laman perbandingan insurans kereta kami.

Leave your comment