Apa Cara Terbaik Untuk Kawal & Kurangkan Hutang Anda?

Apa Cara Terbaik Untuk Kawal & Kurangkan Hutang Anda?
Summary

urus hutang

Kebanyakan daripada kita pasti pernah berhutang dengan tujuan untuk menambah baik masa depan kita. Walaupun kita tidak digalakkan untuk berhutang, namun tidak semua hutang itu jahat atau tidak berguna. Ada hutang yang boleh membantu anda mencapai tahap kehidupan yang lebih baik seperti pinjaman pendidikan tinggi. Ada juga hutang yang boleh membantu menambah pendapatan atau meningkatkan nilai aset anda seperti pinjaman perniagaan. 

Sama ada ianya boleh dibahagikan kepada hutang baik atau hutang buruk, itu terpulang kepada cara penggunaan dan pengurusan si peminjam tersebut. Berikut adalah beberapa petua dan pendapat daripada iMoney untuk membantu anda menguasai kewangan anda:

1. Meminjam berasaskan kemampuan

Jika anda ingin meminjam, hanya pinjam apa yang anda mampu bayar balik dengan pendapatan semasa anda. Jangan pinjam berdasarkan pendapatan masa depan, kerana keadaan mungkin berubah tak seperti yang diharapkan. Bank Negara syorkan supaya rakyat Malaysia tidak melebihi Nisbah Hutang Perkhidmatan (DSR) sebanyak 60%. DSR dikira sebagai [semua obligasi pembayaran balik hutang anda] dibahagikan dengan [pendapatan bersih anda].

Sebagai contoh, jika anda dapat gaji RM3,000 sebulan (iaitu selepas tolak KWSP, cukai dan PERKESO), anda tak patut belanja lebih dari RM1,800 (iaitu 60% dari RM3,000) untuk bayar hutang anda.

2. Optimumkan pembayaran kad kredit anda

Fokus untuk bayar keseluruhan baki kad kredit anda pada akhir setiap bulan bagi mengelakkan anda daripada dikenakan caj faedah. Ini kerana kebiasannya caj faedah kad kredit lebih tinggi daripada caj pinjaman konvensional. Malah jika anda tidak mampu untuk membayar baki keseluruhan, tumpukan untuk bayar sebanyak mana yang anda boleh. Sebarang bayaran tambahan akan mengurangkan baki tertunggak lebih cepat dan sekaligus menjimatkan wang anda.

Ketika memilih kaedah pembayaran, kami galakkan anda untuk memilih skim bayaran mudah tanpa faedah (jika pilihan ini tersedia). Skim ini membolehkan pembelian anda dibayar mengikut tempoh masa yang ditetapkan– biasanya dalam tempoh enam hingga 12 bulan – tanpa caj tambahan selagi anda membayar mengikut jadual.

3. Gunakan kaedah pembayaran automatik

Pertimbang menggunakan kaedah pembayaran automatik daripada terlepas tarikh pembayaran bil-bil anda. Dengan mengenakan sedikit bayaran, kebanyakan bank membantu anda buat arahan tetap untuk mengambil simpanan secara automatik dari akaun simpanan/semasa anda bagi tujuan membayar bil-bil bulanan anda. Senang je kan?

4. Satukan hutang anda

Penyatuan hutang bukanlah cara untuk menghapuskan hutang, sebaliknya penyatuan adalah kaedah mengumpul pelbagai hutang anda menjadi satu pinjaman yang baharu. Sebagai contoh, anda menyatukan tiga jenis hutang yang berlainan sebagai satu hutang sahaja. Ini bermaksud, anda juga akan mempunyai hanya satu kadar faedah (dan kemungkinan besar kadar faedah tersebut dikurangkan) serta satu sahaja tempoh pembayaran balik. 

Secara kesimpulannya, anda menukar tiga hutang sedia ada anda menjadi satu pinjaman peribadi baharu, dan pinjaman ini akan membayar balik ketiga-tiga hutang anda pada kadar faedah dan tempoh pembayaran balik yang baharu dan yang lebih menyenangkan anda.

Untuk melihat jenis-jenis pinjaman peribadi yang menyediakan manfaat penyatuan hutang, sila lihat di sini. Hanya tandakan pada kotak penyatuan hutang dan anda akan lihat kesemua pinjaman peribadi yang menyediakan manfaat ini

5. Sediakan bajet bulanan

Konsep merancang terlebih dahulu adalah konsep yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Anda hendak pergi bercuti? Rancang dulu perjalanan dan jadual percutian. Anda ingin memulakan perniagaan sendiri? Rancang dulu profil syarikat dan pelan perniagaan. Konsep ini juga boleh diguna pakai dalam perbelanjaan kewangan. 

Sediakan bajet bulanan anda supaya anda tahu ke mana dan bagaimana wang anda dibelanjakan. Anda boleh menyediakan bajet dengan mencatat wang masuk dan keluar anda secara manual ataupun dengan cara digital. Jika anda salah seorang pemegang akaun Mayback e-Wallet (MAE), anda boleh memanfaatkan ciri tabung dalam aplikasi MAE tersebut. Setiap kali anda mendapat gaji bulanan, pindahkan sebahagian daripada gaji anda ke dalam tabung-tabung MAE mengikut jenis perbelanjaan anda. 

Dengan cara ini, anda akan terbiasa untuk berbelanja mengikut peruntukan tabung anda, dan bukannya berbelanja mengikut perasaan anda.

6. Pertimbangkan sebelum Buy Now, Pay lter (BNPL)

Kita semua tahu tentang konsep asas dan cara penggunaan Buy Now, Pay Later (BNPL) di Malaysia. Apa yang kita tidak tahu atau pura-pura tidak tahu adalah kemudaratan yang dibawa oleh BNPL jika kita salah menggunakannya. 

Berikut adalah beberapa sebab penggunaan BNPL boleh diklasifikasikan sebagai merbahaya dan ‘menggoda’:

  • Proses pendaftaran BNPL yang mudah. Anda hanya perlu menyediakan pengesahan wajah swafoto dan kad pengenalan.
  • Hampir kesemua platform BNPL tidak mengenakan had minimum pendapatan
  • Tidak perlu melalui proses semakan kelayakan yang terperinci.
  • Kebanyakan platform BNPL tidak menetapkan had perbelanjaan.
  • Tawaran diskaun dan promosi yang banyak.

Walaupun begitu, BNPL sebenarnya satu konsep yang sangat hebat jika anda tahu cara untuk menggunakannya. Sebagai contoh, jika anda yakin anda boleh membeli sesuatu barangan tersebut secara tunai tetapi ingin membahagikan pembayaran tersebut kepada bulanan, itu mungkin waktu yang tepat untuk anda menggunakan BNPL.

Juga, jika anda sudah menetapkan matlamat perbelanjaan anda kepada peraturan 70:20:10, 70% untuk keperluan hidup, 20% untuk simpanan kecemasan/persaraan, dan 10% untuk hutang, anda boleh memasukkan hutang BNPL ke dalam peruntukan 10% tersebut. Jika kuota hutang anda telah penuh, maka anda tahu bahawa anda tidak perlu menggunakan BNPL sehingga hutang lama anda sudah selesai.

Jangan gali lubang, tutup lubang

Walaupun kebiasaannya hutang itu dilihat sebagai suatu konsep yang negatif, ia bergantung pada tujuan dan cara kita menguruskan hutang tersebut. Janganlah pula anda mewujudkan hutang baharu semata-mata untuk membayar hutang yang sedia ada. Cara ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya akan meneruskan kesengsaraan kewangan anda.

Kesimpulannya, tujuan kita berhutang adalah untuk menambah baik kelangsungan dan kesenangan hidup dan bukannya untuk menambah kesusahan kewangan kita.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.