Ekuiti Rumah: Dapatkan Dana Melalui Hartanah Sedia Ada (Tanpa Perlu Jual)

Ekuiti Rumah: Dapatkan Dana Melalui Hartanah Sedia Ada (Tanpa Perlu Jual)

Jika kebelakangan ini anda asyik sibuk mencari pinjaman rumah, mungkin anda pernah ternampak pakej pinjaman yang membenarkan anda untuk mendapat wang tunai dengan “menggunakan dana berdasarkan nilai ekuiti rumah anda”. Bagi mereka yang mahir dalam bidang hartanah, mungkin anda dah tahu serba-serbi. Bagi mereka yang tiada pengalaman dalam bidang pemilikan dan pelaburan hartanah pula, ini adalah artikel yang sesuai untuk anda.

Apa itu ekuiti rumah?

Secara ringkas, ekuiti rumah merujuk pada perbezaan antara nilai semasa rumah anda terhadap jumlah hutang pinjaman rumah yang anda masih anda.

Sebagai contoh:

Jika nilai semasa rumah anda adalah RM500,000

Hutang pinjaman rumah anda adalah RM400,000

Jadi, ekuiti rumah anda adalah = RM500,000 – RM400,000 = RM100,000

Apakah maksud “membuka ekuiti rumah”?

Jika bank menawarkan anda kemudahan untuk mengakses nilai ekuiti rumah anda, ia bermaksud anda layak untuk mengakses (cth. meminjam) sejumlah wang yang bersamaan dengan nilai ekuiti rumah anda. Seperti contoh di atas, jumlah ekuiti rumah anda adalah RM100,000.

Bagaimanakah cara untuk membuka ekuiti rumah?

Anda mempunyai dua pilihan:

  • Anda boleh memohon pinjaman ekuiti rumah atau membuka aliran kredit menggunakan hartanah anda sebagai cagaran. Ini akan memberikan anda akses kepada dana yang mungkin bersamaan atau kurang daripada nilai ekuiti rumah anda. Tetapi ingat, kemungkinan besar anda akan dikenakan caj perkhidmatan untuk pengurusan dan pengendalian pinjaman/aliran kredit anda.
  • Juga, anda boleh mendapatkan wang tunai melalui memohon pembiayaan semula pinjaman perumahan anda. Proses ini dilakukan dengan cara menggantikan pinjaman perumahan semasa anda dengan pembiayaan semula baharu pada jumlah yang lebih tinggi. Ini akan melayakkan anda untuk mengakses perbezaan antara dua pembiayaan (pembiayaan semasa dan baharu) dalam bentuk tunai. Wang tunai yang anda terima boleh digunakan untuk tujuan seperti mengubahsuai rumah, menyatukan hutang kadar faedah atau apa-apa tujuan kewangan yang lain.Antara caj penting yang akan dikenakan adalah termasuk fi guaman serta fi penalti untuk pakej pinjaman semasa anda (jika berkenaan).

Manfaat menggunakan ekuiti rumah

Tidak hairanlah mengapa ramai orang memilih untuk menggunakan ekuiti rumah mereka sebagai cara untuk memperoleh wang tunai. Berikut adalah antara sebab utama:

  • Kadar faedah yang lebih rendah: Kebiasaannya, kadar faedah pinjaman menggunakan ekuiti rumah lebih rendah berbanding pinjaman kredit yang lain (cth. kad kredit)
  • Pengurusan pinjaman yang lebih mudah: Impian anda untuk mendapat bantuan kewangan dalam jumlah yang besar akan menjadi lebih mudah dengan menggunakan ekuiti rumah. Ini kerana pihak bank akan lebih yakin untuk memberi pinjaman kepada anda kerana anda meletakkan rumah anda sebagai cagaran.
  • Tidak rumit: Jika anda menukar ekuiti rumah anda kepada aliran kredit, anda tidak perlu risau kerana akses untuk mendapatkan dana tersedia untuk anda pada bila-bila masa. Ini lebih memudahkan pengurusan kewangan anda, berbanding memohon pinjaman peribadi pada waktu kecemasan.

Hati-hati ketika menggunakan ekuiti rumah

Walaupun ini adalah salah satu kaedah bantuan kewangan yang tersedia untuk anda, tidak semestinya anda perlu menggunakannya. Ingat, apabila anda menggunakan ekuiti rumah, anda sebenarnya hanya meminjam wang daripada pihak bank dengan meletakkan rumah anda dalam risiko kewangan. Ini sama sahaja seperti pinjaman-pinjaman lain di luar sana – anda masih perlu membayar kadar faedah, caj kewangan yang lain dan pada masa yang sama perlu mematuhi terma dan syarat pihak bank. Jika anda gagal memenuhi janji dan tanggungjawab sebagai seorang peminjam, anda mungkin akan kehilangan rumah kesayangan anda.

Leave your comment