Pertahankan Hak Pelaburan Anda

Pertahankan Hak Pelaburan Anda

Artikel ini ditaja oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di bawah inisiatif InvestSmart itu.

securities-commission-malaysia      invest smart

Bayangkan anda baru sahaja membuat pelaburan pertama anda dalam pasaran saham di mana anda kini dengan bangganya merupakan pemunya saham Astro Malaysia Holdings Berhad. Selaku pemunya sebahagian syarikat tersebut, adakah ini bermaksud bahawa anda dan keluarga anda kini boleh menikmati perkhidmatan satelit TV secara percuma? Adakah ini juga bermaksud bahawa anda juga kini mempunyai akses ke semua saluran yang ditawarkan, termasuklah pakej sukan yang anda sebelum ini tidak langganipun kerana harganya yang sangat mahal? Walaupun manfaat-manfaat sebagai pemegang saham yang disebutkan tadi hampir mustahil untuk berlaku, namun ia membuatkan kita berfikir sejenak.

Apakah hak-hak dan keistimewaan anda sebagai pemegang saham? Dalam artikel ini, kita akan fokus untuk memberikan ilustrasi mengenai hak-hak dan keistimewaan sebagai seorang pemegang saham.

Apabila anda melabur dalam saham, secara automatik anda menjadi pemunya sebahagian kecil syarikat yang anda laburkan itu. Perkara ini merupakan suatu titik kejayaan kerana saham anda itu datang bersama pelbagai hak-hak yang anda boleh manfaatkan. Realitinya, kebanyakan pelabur tidak sedar akan hak-hak mereka sebagai pelabur, apatah lagi bilangan mereka yang memanfaatkan hak-hak tersebut. Dengan mengetahui hak-hak anda sebagai pelabur, anda boleh melindungi serta menjaga kewangan, meminimumkan risiko pelaburan dan memaksimakan pelaburan anda secara efisien.
Pemegang-pemegang saham memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan hak-hak mereka. Dengan melaksanankan hak-hak anda sebagai pemegang saham sesebuah syarikat, secara tidak langsung anda mewujudkan transparensi, integriti, dan akauntabiliti oleh pihak lembaga pengarah seterusnya memupuk tadbir urus korporat yang baik (good corporate governance).

1. Menghadiri mesyuarat pelabur

Sebagai seorang pemegang saham, anda berhak untuk menghadiri mesyuarat pemegang saham di syarikat yang anda laburkan itu. Dalam mesyuarat tersebut, pihak syarikat kebiasaannya akan membentangkan prestasi kewangan berserta perancangan syarikat di masa hadapan. Mesyuarat ini merupakan satu platform agar pelabur-pelabur faham dengan jelas terhadap hala tuju syarikat, untuk bertanya soalan kepada pihak pengurusan mengenai prestasi syarikat yang lepas serta plan-plan di masa hadapan dan untuk memastikan mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam melindungi demokrasi korporat.

Kesimpulannya, hak-hak utama pemegang saham berkaitan dengan mesyuarat agung adalah:

  • memohon untuk mengadakan mesyuarat agung;
  • menghadiri, melantik proksi serta menyuarakan pendapat dalam mesyuarat agung;
  • mengundi dalam mesyuarat agung;
  • menerima maklumat-maklumat seperti Registers of Substantial Shareholders, the Register of Debentures, the Instruments and Register of Charges, the Register of Directors’ Shareholdings, the Register of Directors, Managers and Secretaries, the Minute Book of General Meetings, the Registrar and Index of Members. Satu salinan penyata kewangan teraudit perlu diedarkan kepada pemegang-pemegang saham selewat-lewatnya 14 hari sebelum berlangsungnya mesyuarat; dan
  • menguatkuasakan serta mengguna pakai hak-hak yang disebutkan di atas

2. Mengundi dalam isu-isu penting

Pemegang-pemegang saham mempunyai hak dalam membuat keputusan syarikat. Sebagai contoh, apabila sesebuah syarikat ingin melantik pengarah baru, maka pemegang-pemegang saham mempunyai hak mengundi untuk memilih calon-calon yang mereka inginkan. Hak mengundi ini juga merangkumi hal-hal perubahan dasar syarikat seperti pembubaran atau penggabungan syarikat. Di bawah Akta Syarikat 1965, setiap saham equiti yang diterbitkan oleh syarikat tersenarai awam (PLC) atau syarikat subsidiari memberikan satu hak undi dalam sesuatu undian di mesyuarat agung.

Keputusan di dalam mesyuarat agung dibuat melalui undian, kebiasaanya melalui undian secara mengangkat tangan (show of hands) atau undian secara pengiraan jumlah undi (berdasarkan setiap saham ekuiti yang dimiliki). Jika anda tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat tersebut, anda boleh melantik wakil (sama ada wakil adalah ahli syarikat ataupun tidak) sebagai proksi untuk hadir ke mesyuarat dan undi bagi pihak anda. Proksi yang dilantik mempunyai hak yang sama seperti pemegang saham itu sendiri untuk mengeluarkan pendapat dalam mesyuarat tersebut.

Untuk pemegang unit amanah pula, anda berhak untuk mengadakan mesyuarat pemegang unit serta mengundi untuk menyingkirkan pemegang amanah ataupun syarikat pengurusan itu sendiri melalui Resolusi Luar Biasa (Extraordinary Resolution).

3. Memeriksa buku dan rekod korporat

Apabila anda mempunyai saham, tidak kira berapa jumlah pegangan itu, anda secara automatiknya berhak untuk menerima laporan tahunan syarikat serta dokumen-dokumen kewangan lain yang berkaitan dengan prestasi syarikat yang lalu, perancangan syarikat pada masa hadapan dan bagaimana peruntukan dibuat untuk projek-projek akan datang. Kebanyakan syarikat tersenarai awam (PLC) dikehendaki untuk membuat semua urus niaga kewangan secara awam dan terbuka. Laporan tahunan kebiasaannya dipapar di laman sesawang syarikat, namun begitu anda boleh memohon satu salinan laporan tersebut dihantar kepada anda.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan sesuatu maklumat, anda sebagai pelabur boleh berhubung terus dengan unit komunikasi korporat dan hubungan pelabur di dalam sesebuah syarikat itu. Kebanyakan syarikat tersenarai awam (PLC) menjadikan unit ini sebagai platform untuk memberikan maklumat serta berita terkini mengenai syarikat mereka. Platform ini merupakan medium yang baik untuk para pelabur untuk membuat sebarang rujukan.
Bagi unit amanah, prestasi dibentangkan di dalam laporan tahunan sebaik sahaja berakhir setiap tahun kewangan. Setiap pemegang unit juga menerima penyata berkala transaksi dan laporan interim tentang dana-dana yang diuruskan.

4. Hak untuk membuat laporan

Sebagai seorang pelabur, anda tidak boleh berdiam diri dan mengabaikan segala salahlaku terhadap undang-undang atau terhadap hak peribadi anda. Jika anda hendak membuat sebarang aduan, carta di bawah menunjukkan badan-badan yang boleh anda salurkan aduan anda tersebut:

OrganisasiJenis-jenis aduan
Bursa Malaysia• Isu berkaitan syarikat broker saham

• Aduan terhadap syarikat tersenarai awam (PLC)
Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM)• Isu berkaitan ejen unit amanah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)• Isu berkaitan hak-hak pengguna (termasuklah direct selling dan multi-level-marketing)
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)• Isu berkaitan pengurusan serta kesahihan sesebuah syarikat
Bank Negara Malaysia (BNM)• Isu berkaitan perbankan konvensional dan islamik, insurans dan takaful, servis penasihat untuk bagi perusahaan kecil dan sederhana, FOREX
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)• Isu berkaitan sekuriti dan derivatif

5. Membuat saman terhadap salahlaku

Pemegang-pemegang saham mempunyai hak untuk menyaman sesebuat syarikat sekiranya syarikat itu memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai kewangan syarikat. Antara contoh salahlaku termasuklah melaporkan keuntungan yang tidak tepat, hasil jualan yang diada-adakan, serta penipuan stok jualan. Hak membuat saman ini amat penting bagi melindungi kepentingan pemegang-pemegang saham terhadap ketidakcekapan dalam pengurusan syarikat.

Kepentingan due diligence

Apabila membuat sesuatu pelaburan, amatlah penting untuk anda membuat kajian yang menyeluruh dan faham hak-hak anda sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Seseorang perunding kewangan bertauliah bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan anda. Walaubagaimanapun, tidak semua perunding mempunyai etika profesional yang baik, malah ada yang mendedahkan anda kepada instrument yang tidak sesuai dengan tahap penerimaan risiko anda. Hal ini bukan sahaja menyebabkan anda tidak mendapat pulangan seperti yang diharapkan, malah hanya menguntungkan perunding tersebut sahaja melalui insentif yang diperoleh.

Tidak dinafikan anda digalakkan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat profesional, namun adalah penting untuk anda bertidak due diligence serta faham produk, servis, dan syarikat yang anda ingin melabur. Dokumen-dokumen seperti prospektus, dan laporan tahunan merupakan sumber rujukan yang baik bagi memahami sejarah syarikat, operasi serta prestasi kewangan pada tahun-tahun yang lalu. Antara faktor  penting lain yang perlu dititikberatkan adalah seperti umur, tahap penerimaan risiko, dan juga matlamat kewangan anda.

Sebagai seorang pelabur, kuasa untuk mengembangkan aset jatuh ditangan anda. Jadilah pelabur yang bijak dengan mempelajari hak-hak anda serta manfaat yang boleh anda peroleh. Dengan ini, anda boleh membuat keputusan pelaburan yang lebih bijak dan seterusnya mencapai matlamat kewangan anda.

Sebelum melabur, ambil lah sedikit masa untuk memahami semua kos dan caj yang berkaitan dengan pelaburan, kerana ini akan memberi kesan kepada nilai portfolio pelaburan anda. Selain itu, anda boleh menjimat wang dengan memilih jenis kad kredit yang sesuai dengan gaya hidup anda. 

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menafikan semua waranti, sama ada melalui sebutan ataupun yang terimplikasi, termasuk waranti tanpa limitasi bagi ketepatannya, kelengkapannya atau kandungan maklumat yang menjadi sebahagian daripada laman web ini. Anda dinasihatkan merujuk pada pakar yang berkaitan seperti perancang kewangan bertauliah, jururunding pencukaian, penasihat pelaburan dan peguam bagi nasihat terperinci. Untuk maklumat lanjut mengenai penyiaran semula kandungan ini, sila emel: admin@investsmartsc.my.

Leave your comment