Adakah Bakal Pasangan Anda Bijak Menguruskan Wang?

Adakah Bakal Pasangan Anda Bijak Menguruskan Wang?

Dalam membina sesebuah institusi keluarga, banyak perkara yang perlu dihalusi dan dibincangkan bersama pasangan masing-masing. Ada betulnya orang-orang tua menasihati kita untuk berkahwin dengan pasangan yang sekufu dari segi hubungan keluarga, agama, kewangan, dan matlamat hidup.

Apa yang pasti adalah ada pasangan suami dan isteri di luar sana yang berkahwin tanpa meneliti pemikiran dan situasi kewangan pasangan mereka. Akibatnya, pandangan kewangan sering tidak sehaluan, kewangan rumah tangga lambat membangun, hutang bertambah dan banyak lagi reaksi berantai yang lain.

Seseorang yang bijak seperti anda, tidak akan melaburkan masa depan tanpa mengetahui apa yang bakal melanda. Jika anda dan pasangan sudah bersedia untuk memulakan keluarga sebagai suami dan isteri, penting untuk anda membincangkan situasi kewangan masing-masing. Ini mungkin perkara yang agak peribadi dan sulit, tetapi tidak mustahil.

Ambil tahu situasi kewangan bakal pasangan

1. Gaji atau pendapatan bulanan

Tidak salah untuk berbual tentang gaji bulanan bersama pasangan, tetapi ia boleh jadi salah jika perbualan tersebut membawa ke tahap mendesak atau memaksa. Topik yang sensitif begini mestilah dibahaskan dengan cara yang sopan dan beradab. Mungkin kongsikan gaji bulanan anda dan kemudian barulah bertanya kepada pasangan, ataupun bersetuju untuk memberitahu gaji bulanan masing-masing. Barulah adil untuk semua pihak.

Dengan mengetahui gaji bulanan masing-masing, bermacam-macam lagi perancangan kewangan yang anda boleh lakukan. Anda boleh fikirkan soal pembelian rumah, bajet bulanan, bayaran hutang setiap bulan, perbelanjaan harian dan banyak lagi.

Untuk cara yang lebih berkias, anda boleh bertanyakan jumlah potongan bulanan KWSP pasangan anda atau perkahkah dia dihantar ucapan Hari Lahir oleh LHDN. Kemudian, buat kiraan dan anggaran sendiri berdasarkan dua soalan ini.

2. Hutang dan langganan bulanan

Pasangan yang hendak berkahwin juga boleh berkongsi maklumat tentang komitmen seperti hutang dan langganan bulanan. Contohnya, hutang pinjaman pendidikan, hutang kereta, langganan pelan internet atau telefon pintar, dan lain-lain.

Tanya pasangan anda jika mereka sudah mempunyai langganan seperti Netflix, Disney+ Hotstar, Astro ataupun platform penstriman muzik seperti Spotify. Dari segi matematik, anda akan lebih jimat jika anda berdua berkongsi akaun yang sama.

Bagi pasangan yang tidak pernah tinggal asing daripada keluarga sendiri, perbelanjaan rumah adalah salah satu komitmen bulanan yang terbesar. Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan jika anda ingin menyewa atau membeli rumah, seperti faktor lokasi tempat tinggal dan tempat kerja. Bincangkan kebolehan anda dan pasangan tentang mana yang lebih baik.

3. Tabung simpanan untuk waktu kecemasan

Menurut Jabatan Kajian politik Nasional & Antarabangsa, jumlah kes perceraian meningkat secara luar biasa sepanjang tempoh dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan. Antara faktor utama perceraian semasa tempoh ini adalah disebabkan keluarga hilang punca pendapatan selepas suami diberhentikan kerja.

Ini membuktikan bahawa bakal suami dan isteri perlu bijak dalam menguruskan perbelanjaan dan kewangan keluarga, terutama sekali jika berlakunya kecemasan. Apakah akan terjadi jika suami diberhentikan kerja atau mengalami kerugiaan perniagaan yang teruk? Inilah yang dikatakan bahaya jika berkahwin tanpa mewujudkan tabung kecemasan.

Jika anda atau bakal suami masing-masing tidak mempunyai tabung simpanan, cubalah untuk menambah jumlah simpanan tersebut. Raikan majlis kenduri dalam kesederhanaan dan pentingkan kehidupan selepas berkahwin. Jika anda atau pasangan tidak mempunyai tabung kecemasan, dahulukan menabung sebelum anda berdua melangkah ke alam perkahwinan. Siapkan diri dan pasangan sebelum berhadapan dengan waktu kecemasan.

Tabung simpanan yang disebutkan haruslah mampu untuk menampung seluruh ahli keluarga selama sekurang-kurangnya enam bulan. Ingat, tiada jumlah yang terlalu kecil untuk menyimpan. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

4. Gabung atau asingkan akaun?

Sesetengah pasangan memilih untuk membuka akaun gabungan selepas berkahwin, tetapi ramai juga yang memilih untuk menyimpan duit secara berasingan. Oleh kerana anda berdua bakal disatukan, kebanyakan perbelanjaan isi rumah akan dikongsi bersama. Perbelanjaan harian, pembelian barangan dapur, ansuran kereta, perlindungan insurans/takaful adalah contoh perbelanjaan lain yang dikongsi oleh kebanyakan pasangan di luar sana.

Walaupun perkongsian akaun bank bersama memudahkan pengurusan wang dan mungkin memberikan manfaat yang tersendiri, masih ada pasangan yang memilih kebebasan untuk memiliki akaun secara berasingan. Mungkin cara yang lebih baik dan seimbang adalah:

  • Mewujudkan akaun gabungan untuk perbelanjaan yang anda kongsikan dan akaun sendiri untuk simpanan atau perbelanjaan peribadi.
  • Simpan dan belanja menggunakan akaun sendiri tetapi masing-masing perlu amanah dan jujur.
Mempunyai akaun gabungan memberikan pasangan pelbagai manfaat yang lain dan pada masa yang sama lebih risiko jika mereka memutuskan untuk berpisah. Proses agihan wang dalam akaun tersebut akan menjadi lebih rumit.

5. Keserasian kewangan

Pernahkah anda terdengar nasihat tentang mencari pasangan yang sekufu dalam perkahwinan? Sekufu di sini bermaksud keserasian kewangan dari segi pemikiran, pandangan dan matlamat.

Salah satu cara mengetahui keserasian pasangan adalah dengan cuba berborak tentang hal kewangan yang ringan. Contohnya, selepas makan malam bersama pasangan, cuba tanya sama ada makan malam tersebut mahal atau tidak. Ambil tahu dan kemudian cerita tentang pengumuman harga barang dapur terkini. Apa yang anda cuba lakukan di sini adalah mendapatkan gambaran kesedaran kewangan pasangan anda dan pandangan dia terhadap kewangan.

Pasangan yang tidak sepakat dalam merancang kewangan keluarga lebih sukar untuk mencapai persetujuan. Keserasian kewangan bukanlah bermaksud tahap kaya atau miskin, sebaliknya mengambil kira faktor kesefahaman dan keserasian dalam pengurusan wang.

  • Adakah pasangan anda ingin mengejar minat dan kemahiran selepas mendirikan rumah tangga?
  • Jika anda ingin menyambung pengajian tinggi, apakah perancangan yang sesuai untuk kedua-dua pihak?
  • Bilakah waktu yang sesuai untuk cuba mendapatkan cahaya mata?
Ada juga pasangan yang mempunyai hobi dan minat yang mereka ingin kejar walaupun sudah bergelar suami dan isteri. Ada juga yang ingin menyimpan untuk menyambung pendidikan lepasan ijazah.

6. Faedah pekerjaan

Pasangan yang menerima manfaat pekerjaan boleh membincang dan menggunakan manfaat tersebut dengan sebaik mungkin. Manfaat seperti cuti sakit, perlindungan insurans keluarga, elaun perjalanan ulang alik ke tempat kerja, elaun perubatan hospital, dan lain-lain.

Sesetengah pekerjaan akan mengubah manfaat pekerjaan selepas anda berkahwin. Ada juga yang memberikan elaun bersalin. Tentunya manfaat-manfaat ini tertakluk pada terma dan syarat. Jadi, semak dan jelaskan manfaat tersebut bersama jabatan sumber manusia masing-masing.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Sebenarnya, kesanggupan untuk bercakap jujur dengan pasangan dan mendengar tanpa menaruh prasangka adalah petua utama dalam perkahwinan. Untuk belajar antara satu sama lain, perlu ambil masa yang lama. Ingatlah bahawa mampu berkahwin tidak maksud anda bersedia untuk berkahwin. Mampu berkahwin bermaksud anda dan pasangan memaklumi dan redha dengan kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing sambil bersama-sama bersedia menghadapi susah dan senang perkahwinan.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image