Bajet 2022: Penjawat Awam Terima Bantuan Khas Kewangan

Bajet 2022: Penjawat Awam Terima Bantuan Khas Kewangan

Dalam mengharungi episod duka pandemik COVID-19, penjawat awam, terutamanya pekerja barisan hadapan merupakan tunjang utama dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Disebabkan itu, kerajaan telah memperuntukkan bajet dalam Belanjawan 2022 untuk menambah baik beberapa kemudahan perkhidmatan awam dan memberi mereka bonus bantuan kewangan.

Apakah bantuan dan inisiatif untuk penjawat awam?

Kerajaan telah memutuskan untuk menyediakan sejumlah RM332.1 bilion – sebuah nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. Daripada jumlah peruntukan tersebut, kerajaan bersedia untuk memberi bantuan melalui enam kategori yang berikut:

Advertisement

1. Skim pembiayaan komputer dan telefon pintar

Kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam akan diturunkan daripada empat kepada dua peratus.

2. Penyelenggaran kuarters

Peruntukan sebanyak RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

3. Perlindungan Kemalangan Diri

Kerajaan juga telah memutuskan untuk meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri maksimum sehingga RM100,000 untuk memanfaatkan 40 ribu peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Inisiatif ini akan diperluaskan lagi untuk merangkumi perlindungan:

  • Hilang upaya separa, sebahagian dan kekal
  • Badal haji
  • Perbelanjaan pemulihan kecederaan akibat kemalangan

4. Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan

Selain itu, Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150,000 kepada RM200,000 sebulan yang akan memanfaatkan lebih 14 ribu pegawai penjara. Sebagai tambahan, elaun ini juga akan dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan.

5. Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis

Kerajaan juga telah mengumum untuk meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai PVR. Manakala, RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota PVR.

6. Bantuan Khas Kewangan

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh sukar, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350, dengan keseluruhan RM1.3 bilion.

7. Gantian cuti rehat

Bagi mengiktiraf pengorbanan kesemua penjawat awam terutamanya pekerja barisan hadapan, kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari. Kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal CGR sehingga 50% atau 80 hari.

Semoga kesemua penjawat awam dan kakitangan kerajaan memperolehi manfaat daripada insentif dan bantuan ini. Teruskan dalam melakukan kerja secara amanah dan bersabar dalam menangani kerenah rakyat.

Leave your comment