Gunakan 3 Kaedah Ini Untuk Melangsaikan Hutang Anda Dengan Pantas

Gunakan 3 Kaedah Ini Untuk Melangsaikan Hutang Anda Dengan Pantas

Menurut laporan akhbar The Star, kadar kemuflisan di Malaysia semakin meningkat dengan sebanyak 21,987 kes dilaporkan pada tahun 2013. Hal ini tentunya membuat kita lebih berhati-hati ketika menggunakan kemudahan kredit.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kita tidak dapat lari daripada berhutang seperti kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, dan juga pinjaman pendidikan. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mampu untuk membeli keperluan seperti rumah dan kenderaan, membiayai perbelanjaan pendidikan ataupun rawatan kesihatan di klinik atau hospital swasta secara tunai.

Selain itu, ada juga di kalangan kita yang menggunakan kemudahan kredit untuk membiayai kos lain seperti kos perkahwinan dan kos melancong. Walau apa pun faktor yang menyebabkan kita terpaksa berhutang, sudah pasti kita semua mengharapkan bahawa hutang itu dapat diselesaikan dengan segera.

Advertisement

Di dalam artikel ini, kami menyenaraikan beberapa kaedah mudah yang anda boleh gunakan bagi meringankan beban hutang anda.

Kaedah 1: Kaedah snowball

Penasihat kewangan Amerika Syarikat, Dave Ramsay, menyarankan satu kaedah mudah yang dinamakan sebagai kaedah snowball. Menerusi kaedah ini, anda boleh menumpukan komitmen kewangan anda untuk membayar satu akaun hutang pada satu masa, manakala hanya membuat pembayaran minimum untuk akaun-akaun hutang yang lain.

Anda dinasihati untuk mengumpulkan sejumlah wang untuk tabungan kecemasan terlebih dahulu (misalnya, RM1,000). Selepas itu, anda boleh menggunakan pendapatan anda untuk membayar setiap satu akaun hutang anda – satu persatu.

Anda perlu menyenaraikan setiap hutang berdasarkan baki dan bayaran bulanan, dan anda perlu membayar akaun hutang yang mempunyai baki yang paling minimum terdahulu. Dengan melangsaikan hutang dengan jumlah terendah dulu, anda akan dapat melihat hasilnya dengan lebih cepat.

Pendekatan ini akan memotivasikan anda untuk terus membayar hutang anda sehingga semua baki dapat dijelaskan. Selain itu, anda juga digalakkan untuk mengelakkan diri daripada membuat permohonan pinjaman peribadi yang baru dan mengurangkan penggunaan kad kredit.

Walau bagaimanapun, kaedah ini mungkin mengambil tempoh masa yang lama bagi menyelesaikan semua hutang yang ada, dan pembayaran minimum mungkin akan menyebabkan pengumpulan faedah yang memanjangkan tempoh pembayaran semula akaun-akaun hutang yang lain.

Kaedah 2: Kaedah debt stacking atau kaedah penyusunan

Kaedah ‘debt stacking’ memerlukan anda menyenaraikan dan menyusun semula hutang anda mengikut kadar faedah, dan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi perlu dilangsaikan terlebih dahulu. Contohnya, anda mempunyai 4 akaun hutang:

Fasiliti hutang
Jumlah hutang
Kadar faedah
Pembayaran bulanan
Kad kredit Mastercard
RM3,000.00
18% setahun
Pembayaran minimum
bulan pertama:
RM150.00
Pinjaman peribadi
* Jangka 2 tahun
RM5,000.00
8% setahun
RM241.00
Pinjaman kenderaan
* Jangka 7 tahun
RM45,000.00
3.51% setahun
RM667.00
Pinjaman pendidikan
* Jangka 6 tahun
RM30,000.00
1.5% setahun
RM435.96

Dengan menggunakan kaedah ini, anda disarankan untuk melangsaikan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi terdahulu, iaitu baki hutang kad kredit dengan kadar faedah 18%. Pada masa yang sama, anda perlu membuat pembayaran minimum bagi akaun-akaun hutang yang lain.

Sebagai contoh, jadual di atas menunjukkan hutang yang berjumlah RM1,493.96. Untuk memastikan baki hutang tersebut dapat diselesaikan dengan kadar yang pantas, anda harus menggunakan semua wang lebihan anda untuk membayar baki hutang anda.

Get Infographics, Articles and More Direct to your Inbox!

Thanks

 

Jika anda memperuntukkan sebanyak RM1,600 untuk membayar hutang anda setiap bulan, anda akan menggunakan lebihan sebanyak RM106.04 (RM1,600.00 – RM1,493.96) untuk membayar hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi. Selepas anda melangsaikan baki hutang tersebut, anda perlulah membuat pembayaran untuk hutang dengan kadar faedah kedua tertinggi pula dengan lebihan sebanyak RM256.04 (RM150.00 + RM106.04) dan seterusnya.

Kaedah ini dapat mengelakkan anda daripada membayar kadar faedah berganda kerana anda akan menyelesaikan baki pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang tertinggi terdahulu. Namun, proses ini akan memakan masa. Anda mungkin hanya akan melangsaikan akaun hutang pertama dan melihat hasil pembayaran dalam jangka masa yang lebih panjang berbanding kaedah ‘snowball. Oleh itu, kaedah ini memerlukan disiplin diri dan komitmen yang tinggi.

Kaedah 3: Kaedah snowflake

Berbanding kaedah ‘snowball dan ‘debt stacking yang memerlukan anda memberikan komitmen kewangan bulanan yang tinggi untuk melangsaikan baki hutang, kaedah snowflake ialah kaedah yang lebih fleksibel.

Anda boleh membayar baki hutang anda mengikut kemampuan sendiri, tetapi dengan kekerapan yang lebih tinggi. Hal ini bermakna, walaupun anda sudah membuat pembayaran minimum untuk baki hutang anda, anda terus membayar baki hutang anda setiap kali anda mempunyai lebihan wang mengikut kemampuan anda. Contohnya, RM20 pada minggu pertama, RM50 pada minggu kedua, dan seterusnya. Dengan menggunakan kaedah ini, anda seakan-akan tidak terbeban dengan komitmen kewangan yang tinggi kerana anda hanya perlu membayar sikit demi sedikit. Anda mungkin dapat melangsaikan hutang tanpa anda sendiri menyedarinya.

Kaedah ini juga sesuai bagi orang yang bekerja sendiri, ‘freelance atau yang melakukan kerja sambilan. Walau bagaimanapun, kaedah ini mungkin menyebabkan anda perlu membuat pembayaran balik hutang dalam jangka masa yang lebih lama, dan anda tidak dapat menjangkakan bila hutang tersebut dapat dilangsaikan. Oleh itu, kaedah ini memerlukan perancangan yang teliti.

Anda hendaklah sentiasa mengemas kini baki hutang anda untuk mengelakkan caj-caj tersembunyi atau faedah terkumpul. Hal ini juga bagi memastikan yang anda dapat meramalkan jangka masa yang anda perlukan untuk melangsaikan semua hutang tersebut.

Jadi, yang manakah kaedah terbaik untuk saya?

Ketiga-tiga kaedah di atas mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Anda perlu melihat kaedah yang paling sesuai dengan situasi dan komitmen kewangan anda. Kaedah ‘debt stacking’ mungkin adalah kaedah yang paling berkesan, kerana anda melangsaikan hutang yang mengenakan kadar faedah yang tertinggi terdahulu.

Dengan masa, bebanan faedah anda semakin berkurangan dan anda dapat mengelakkan diri daripada membayar faedah pinjaman yang tinggi. Namun, setiap individu mempunyai komitmen kewangan yang berbeza. Oleh itu, anda perlu tepuk dada, tanya selera untuk mengetahui kaedah pembayaran hutang yang mana paling berkesan untuk anda.

Leave your comment