Mengapa Kita Perlu Beli Insurans Kereta dan Bagaimana Fungsinya?

Insurans kereta adalah satu bentuk sekuriti yang disediakan oleh syarikat insurans kepada pemilik atau pemandu kereta terhadap sebarang kemungkinan tuntutan kerosakan dan / atau kerugian akibat pemanduan kereta di atas jalan.

Ini adalah struktur asas contoh insurans kereta: Apabila anda bayar premium kepada syarikat insurans kereta anda, premium anda sekali dengan premium pemegang-pemegang polisi yang lain akan dikumpulkan ke dalam sebuah “dana” yang ditubuhkan oleh penginsurans. Syarikat insurans akan menguruskan dana ini, dan wang dari dana ini akan digunakan dalam pembayaran ganti rugi kepada pemegang polisi bila berlaku kemalangan.

Mengapa perlu beli insurans kereta?

Pemandu di Malaysia, di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987, adalah dimestikan membeli insurans kereta – sekurang-kurangnya Perlindungan Pihak Ketiga. Jenis-jenis perlindungan yang lain (Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian atau Perlindungan Komprehensif) adalah pilihan pemandu dan tidak dimestikan.

Walaupun sesetengah dari kita percaya bahawa pemanduan selamat dapat memastikan sekuriti diri dan juga orang lain, maklumat yang dikumpulkan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia menunjukkan sebaliknya. Menurut Persatuan tersebut, jumlah kenderaan bermotor yang terlibat dalam kemalangan tidak menurun di tahun-tahun kebelakangan ini.

Ramai orang tak sedar akan potensi kos atas kerosakan yang berlaku dan peranan yang dimainkan oleh insurans dalam melindungi kita dari peristiwa yang tak diingini. Mempunyai perlindungan insurans kereta dapat meringankan beban kewangan apabila berlaku kemalangan atau kecurian terhadap kenderaan anda. Lebih penting lagi, ia melindungi anda dari menjadi mangsa kepada pemandu yang merbahaya.

Bandingkan insurans kereta

Walaupun kos sesetengah pakej insurans kereta adalah mahal, terdapat banyak opsyen yang anda boleh pilih bergantung kepada jenis dan liputan perlindungan yang anda mahu. Di Malaysia, premium insurans kereta dikawal dan ditetapkan oleh Bank Negara, yang bermakna untuk pakej atau perlindungan tertentu, premiumnya adalah sama walaupun anda pilih syarikat insurans yang berlainan.

Ini bererti apabila anda buat perbandingan di antara syarikat insurans, anda perlu bandingkan ciri atau faktor selain dari harga. Sesetengah ciri atau faktor yang kita telah kenal pasti harus dipertimbangkan termasuklah:

  • Perkhidmatan nilai tambahan, contohnya bantuan kecemasan percuma
  • Mudah membuat pembaharuan, contohnya kemudahan membuat pembaharuan atas talian
  • Kerumitan proses tuntutan
  • Jumlah dan lokasi bengkel panel
  • Perkhidmatan pelanggan

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.