Nak Beli Kereta Kena Tahu Enam Perkara Ini Dulu

panduan pinjaman kereta

Pada zaman ini, memiliki sebuah kereta bukan sahaja menjadi satu kepentingan, malahan satu keperluan bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja atau ingin memenuhi gaya hidup masing-masing.

Sama ada anda membeli kereta buat pertama kali atau menaiktaraf kereta sedia ada – anda perlu membuat pinjaman kereta (melainkan anda membayar kereta secara penuh).

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perkara dan maklumat yang anda perlu tahu sebelum menandatangani perjanjian pinjaman kereta anda.

Deposit minimum kereta

Antara pembayaran pertama yang anda perlu lakukan adalah membuat deposit minimum kereta (juga dipanggil sebagai ‘duit muka’). Kebiasaannya, bank akan meminta minimum sebanyak 10% dari harga asal kereta. Sebagai contoh, jika kos kereta baru anda adalah RM50,000, anda perlu bayar RM5,000 sebagai wang pendahuluan.

Anda juga mempunyai pilihan untuk membuat bayaran muka sehingga 20% daripada harga asal kereta. Ini akan merendahkan bayaran ansuran bulanan anda kerana lebih tinggi duit muka anda, lebih rendah bayaran ansuran bulanan. Namun, jika anda tidak mempunyai sejarah skor kredit yang baik, atau tidak wujud langsung, bank mungkin akan meminta peratusan yang lebih tinggi daripada 10%.

Kadar faedah tetap atau kadar boleh ubah

Kebanyakan bank akan menawarkan pilihan kadar faedah tetap atau boleh ubah untuk pinjaman kereta.

Kadar faedah tetap pinjaman bermaksud kadar faedah anda akan kekal berterusan sepanjang tempoh pinjaman.

Bagi pinjaman kadar faedah boleh ubah, bank biasanya memberikan peratusan tertentu yang berdasarkan Kadar Asas Standard (KAS), yang berubah mengikut Kadar Dasar Semalaman (OPR). Ini bermaksud, jika OPR berubah, kadar faedah anda juga akan berubah. Untuk mengetahui OPR yang terkini, sila rujuk laman web Bank Negara Malaysia.

Caj pembayaran lewat

Jika anda lewat buat bayaran ansuran kereta anda, bank berhak mengenakan penalti pembayaran lewat maksimum sehingga 8% setahun. Dan caj ini akan dikirakan secara harian ke atas ansuran bulanan anda yang tertunggak. Pastikan anda mampu membayar ansuran bulanan anda agar hutang anda tidak ditambah dengan hutang lagi.

Anda mungkin memerlukan penjamin

Bergantung pada apa yang bank rasa tentang keupayaan anda membayar balik pinjaman, anda mungkin dikehendaki menamakan ‘penjamin’ bagi menyokong permohonan anda. Kebiasaannya, anda memerlukan penjamin jika anda mempunyai skor kredit yang rendah atau tidak mempunyai sebarang sejarah pembayaran langsung. Bank sukar untuk mempercayai anda dan penjamin adalah salah satu faktor yang boleh membantu anda mendapatkan pinjaman kereta.

Penjamin asasnya adalah pihak yang akan bertanggungjawab membayar bahagian yang belum dibayar pada pinjaman anda, termasuk semua yuran dan caj faedah yang terkumpul, jika anda gagal menghormati perjanjian pinjaman kereta.

Insurans

Sebagai penyewa kereta atau peminjam, adalah tanggungjawab anda untuk memastikan kereta anda diinsurans dan dilindungi. Jadi, Bank biasanya mewajibkan anda untuk mengambil perlindungan insurans komprehensif ke atas kereta anda sebelum meluluskan pinjaman. Ini bagi melindungi pemegang kereta (anda) dan juga kereta tersebut daripada sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Penarikan kereta

Berdasarkan Akta Sewa Beli 1967, bank berhak untuk mengambil semula atau menarik balik mana-mana kenderaan jika (a) penyewa didapati gagal membayar dua ansuran bulanan berturut-turut atau (b) penyewa telah meninggal dunia dan gagal membayar empat ansuran bulanan berturut-turut.

Berdasarkan akta yang sama, terdapat beberapa proses penarikan kenderaan:

  • Jadual Keempat. Bank perlu menghantar notis Jadual Keempat (luput dalam 21 hari) yang merupakan notis bertulis yang menyatakan tentang perancangan bank tersebut untuk menarik kereta anda.
  • Jika anda secara sukarela memulangkan kereta dalam tempoh 21 hari selepas penyampaian notis Jadual Keempat, anda tidak perlu membayar (a) kos pengambilan semula hakmilik, (b) kos bersampingan yang timbul akibat pengambilan semula dan (b) kos penyimpanan kereta anda.
  • Jadual Kelima. Jika anda memulangkan kereta tersebut semasa berjalannya Jadual Keempat, anda akan diberikan notis Jadual Kelima yang mempunyai tempoh 21 hari bagi anda menyelesaikan segala tunggakan.
  • Namun, jika anda memulangkan kereta selepas tamatnya luput Jadual Keempat, anda perlu membayar tambahan pembayaran seperti perbelanjaan pengambilan semula, penyimpanan, pengjagaan dan pembaikan.

Peringatan
Semasa proses penarikan kereta berlangsung, pemunya kereta (bank) wajib membuat pengakuan tentang pengambilan semula kereta dengan memberi dokumen kepada penyewa (anda) yang menyatakan barang telah diterima, butiran barang, masa, tarikh dan alamat penyimpanan.

Bonus: Hak anda semasa penarikan kereta berlaku

1. Ejen penarik kenderaan tidak dibenarkan menarik kenderaan yang berada di kawasan kediaman berpagar. Mereka juga memerlukan izin daripada anda untuk masuk ke dalam kediaman anda.

2. Ejen penarik kenderaan tidak boleh menarik kenderaan pada hari cuti umum

3. Masa untuk melakukan urusan tarik kenderaan adalah pada 9 pagi sehingga 9 malam sahaja

4. Ejen penarik kenderaan perlu mengemukakan surat arahan tarik dari institusi kewangan dan perintah Mahkamah kepada penyewa (anda) sekiranya kenderaan yang hendak ditarik telah membuat bayaran melebihi 75% daripada pinjaman kenderaan

5. Ejen penarik kenderaan perlu mempunyai Kad Autoriti Ejen Perolehan Semula (EPS) daripada KPDNKK

6. Ejen penarik kenderaan perlu bersikap professional, memakai pakaian yang kemas dan bersesuaian ketika urusan tarik kenderaan dilakukan

7. Ejen penarik kenderaan dilarang sama sekali menggunakan kekerasan ketika proses menarik kenderaan dilakukan

8. Penyewa perlu diberikan masa yang secukupnya untuk mengeluarkan segala barang peribadi dan berharga dari dalam kereta sebelum kenderaan ditarik

9. Ejen penarik kenderaan perlu segera membuat laporan polis bagi memaklumkan kesahihan menjalankan penarikan kenderaan

10. Jika berlaku sebarang masalah ketika proses penarikan kenderaan seperti berlaku jenayah, kekerasan, peras ugut duit mahupun pencerobohan premis tanpa izin, penyewa (anda) berhak untuk melaporkannya kepada pihak polis agar tindakan undang-undang terhadap ejen penarik kenderaan/ institusi kewangan. Begitu juga sebaliknya.

11. Penyewa (anda) berhak untuk mendapatkan nama ejen, nombor permit, nama dan alamat bank, dan termasuk juga tempat penyimpanan kereta.

Semoga pencarian kereta idaman anda berjalan lancar dan anda faham tentang komitmen dan risiko yang datang dengannya. Pastikan ansuran bulanan berada dalam kemampuan anda, semua perjanjian dibuat secara bertulis dan anda baca setiap cetakan halus pada perjanjian tersebut.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image