Kesilapan Kewangan Untuk Dielak Dalam Setiap Dekad

Kesilapan Kewangan Untuk Dielak Dalam Setiap Dekad

Setiap orang sudah tentu pernah melakukan kesilapan berkenaan wang. Tiada wang simpanan yang mencukupi, perbelanjaan boros, atau menunggu terlalu lama sebelum menjual saham.

Membuat kesilapan dengan wang boleh berlaku tidak mengira umur. Oleh kerana begitu, kami menyediakan senarai kesilapan kewangan yang biasa terjadi mengikut umur. Mengelak daripada kesilapan-kesilapan kewangan ini boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti kehidupan anda..

Umur 20-an

Anda baru menjejak kaki ke alam berkerja dan sedang membina asasi kerjaya anda. Ini juga bermakna anda mempunyai pendapatan yang rendah. Malangnya, bersosial biasanya menjadi keutamaan bagi orang muda. Ini menyebabkan anda lebih berbelanja dan kurang menyimpan wang.

Terlebih anggar keupayaan pembelian

Anda mungkin ingin mengembara ke seluruh dunia atau membeli kereta mewah tetapi tidak mempunyai gaji yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika anda tidak berhati-hati, anda mungkin akan menanggung beban hutang yang besar selama bertahun-tahun. Biasakan diri anda untuk menyimpan wang bagi perkara yang anda ingini dan elakkan bergantung pada kad kredit.

Menangguh persiapan persaraan

Persaraan mungkin kelihatan jauh sekali, tetapi membuat persiapan dari mudah akan memudahkan tugas anda. Wang yang di simpan dalam umur 20-an akan mempunyai nilai lebih tinggi kerana ia mempunyai masa lebih lama untuk mengumpul wang bunga.

Terlalu banyak menggunakan kad kredit

Walaupun kad kredit memberikan perkhidmatan bernilai dengan menyediakan kemudahan, ia juga boleh menggoda anda untuk berbelanja di luar kemampuan anda. Pada peringkat ini, bil kad kredit anda mungkin membebankan jika anda tidak berhati-hati. Kegagalan untuk membayar jumlah penuh dan hanya membayar baki minimum bermakna anda akan menanggung faedah terkumpul yang amat tinggi. Sediakan belanjawan bulanan berdasarkan pendapatan anda dan ikutinya dengan tegas. Gunakan kad kredit hanya jika anda mampu membayar baki sepenuhnya pada akhir bulan.

Umur 30-an

Anda mungkin sudah berkahwin dan sudah mula merancang untuk berkeluarga. Tanggungjawab kewangan anda semakin meningkat dan memerlukan rancangan menyediakan kehidupan yang terbaik untuk keluarga anda.

Tidak merancang keperluan pendidikan masa depan anak-anak anda

Apabila memegang anak baru lahir anda, memikirkan hari beliau akan pergi ke universiti amat jauh dari fikiran anda. Namun demikian, masa berlalu lebih cepat daripada yang anda boleh bayangkan. Kos pendidikan universiti dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang, oleh itu, anda harus merancang dana universiti anak anda selepas beliau dilahirkan. Jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak untuk membiayai sehingga peringkat universiti, kos ini boleh meningkat dengan tinggi. Dengan melambatkan atau tidak mempunyai dana pendidikan sama sekali, anda mungkin terpaksa menggunakan dana persaraan sebelum hari tua anda.

Tidak mengambil berat hal insurans

Individu dalam lingkungan usia 30-an biasanya tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi. Mereka sering kali kehilangan peluang untuk membeli insurans hayat pada premium lebih rendah dan menangguhkan pembelian insurans ketidakupayaan, kemalangan peribadi atau kesihatan. Tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi merupakan satu risiko kewangan. Apabila anda mempunyai tanggungan seperti pasangan, anak-anak dan ibu bapa yang sudah berusia, ia memberikan jaringan keselamatan kewangan untuk seluruh keluarga anda jika sesuatu tidak diingini menimpa diri.

Umur 40-an

Dalam umur 40-an, anda mungkin sudah sampai ke puncak kerjaya dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding ketika anda dalam umur 20-an (ataupun 30-an). Walau bagaimanapun, ramai yang masih sibuk membelanjakan wang bagaikan masih muda.

Tidak menyemak portfolio pelaburan anda

Anda mungkin lebih bersedia mengambil lebih banyak risiko apabila dalam umur 30-an, tetapi toleransi risiko anda akan berubah selepas mengalami pelbagai peringkat kehidupan. Apabila menghampiri umur persaraan, anda mesti menyemak semula portfolio bagi memperuntukkan lebih banyak aset ke dalam pelaburan yang lebih konservatif.

Walaubagaimanapun, jika anda mengalihkan pelaburan terlalu awal, ia mungkin akan mengurangkan jumlah untuk wang simpanan anda. Anda perlu memastikan simpanan anda dapat menampung kehidupan anda dengan baik apabila anda bersara.

Mengabaikan penulisan wasiat

Walaupun hukum Shariah menentukan pembahagian harta seorang Muslim, wasiat masih berharga untuk anda. Dokumen ini membolehkan anda menghadiahkan ⅓ daripada harta anda kepada sesiapa sahaja. Cara ini penting untuk memastikan aset yang penting akan diterima oleh individu yang memerlukannya.

Umur 50-an

Dalam umur 50-an, anak-anak anda sudah berada di universiti dan hanya tinggal satu dekad lagi sebelum anda bersara.

Membiayai pendidikan anak dengan wang persaraan

Terlalu ramai ibu bapa menggunakan simpanan persaraan dan mengeluarkan wang daripada KWSP untuk membiayai pendidikan anak mereka. Utamakan keperluan persaraan anda terlebih dahulu dan lakukan apa yang boleh untuk memperuntukkan wang bagi kedua-duanya. Itulah sebabnya mengapa ia penting untuk memulakan perancangan untuk kedua-dua ini seawal yang mungkin.

Melabur seperti anda masih muda

Apabila menghampiri umur bersara, anda perlu lebih berhati-hati terhadap simpanan anda. Memandangkan anda mungkin berumur panjang menjangkaui usia lebih daripada 80 tahun, anda memerlukan jumlah yang besar untuk persaraan.

Hanya mengekalkan modal bukanlah satu strategi kewangan yang mampan, wang tersebut mesti ‘bekerja’ untuk anda. Pelaburan mempunyai risikonya sendiri tetapi menyimpan wang di bawah tilam mempunyai risiko yang sama. Oleh itu, pastikan anda terus menambahkan wang simpanan supaya dapat menangani inflasi dan menampung keperluan.

Dalam umur 60-an

Dalam umur 60-an, anda akhirnya telah bersara. Kedutan dapat dilihat, dan anak-anak anda sudah berkeluarga. Memandangkan anda tidak lagi mempunyai sumber pendapatan, menjaga kewangan menjadi keutamaan. Senario terbaik adalah menikmati hidup bahagia di usia senja dan meluangkan masa dengan cucu-cicit.

Mengabaikan pelaburan sepenuhnya

Anda akan membina dana sehingga anda bersara. Selepas itu anda akan berhenti membinanya secara proaktif dan menikmati kehidupan anda menggunakan dana tersebut. Namun demikian, golongan pesara boleh terus memaksimumkan pelaburan untuk menambahkan pendapatan persaraan melalui pelaburan yang menawarkan pengagihan secara bulanan atau suku tahunan. Memastikan pelaburan anda menyediakan aliran pendapatan yang mantap dapat membantu anda menguruskan belanjawan dengan lebih baik sambil menambahkan lagi wang anda.

Tidak mengekalkan insurans perubatan

Apabila umur anda semakin meningkat, insurans perubatan akan menjadi lebih mahal. Ramai orang akan membatalkannya dan menumpukan kewangan ke bahagian lain dalam hidup mereka. Walaubagaimanapun, ada sebabnya mengapa kos insurans perubatan meningkat seiring dengan umur anda – apabila anda semakin tua, anda lebih mudah jatuh sakit, dan ini menyebabkan bil perubatan mula bertambah. Itulah masanya anda mungkin menyesal tidak mengekalkan insurans perubatan anda.

Memanfaatkan setiap peluang kewangan sepenuhnya pada setiap dekad kehidupan anda adalah penting. Lebih banyak wang yang dikendalikan dengan cermat bermakna lebih banyak peluang dan lebih banyak jaminan kewangan untuk anda dan keluarga anda.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image