Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Mengubah Strategi Pelaburan Anda?

Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Mengubah Strategi Pelaburan Anda?

Jika anda banyak meluangkan masa meneliti situasi ekonomi Malaysia dari masa ke masa, anda tentu pernah terbaca tentang ekonomi masa hadapan yang kadang-kalanya merisaukan. Dari berita tentang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, kenaikan inflasi paling mendadak pada kadar 2.8% dalam lima tahun, hingga ke kemungkinan kemerosotan pasaran saham.

Dengan turun naiknya keadaan kewangan kita, anda pasti tertanya-tanya jika anda harus menilai semula strategi pelaburan anda dan mengubahnya untuk terus bersaing dengan situasi pasaran ekonomi semasa.

Jadi, bagaimana cara untuk mengetahui jika anda perlu mengubah strategi pelaburan anda? Jangan risau, kami ada menyediakan senarai semak yang ringkas untuk anda.

Bilakah waktu untuk menilai semula strategi pelaburan anda?

Berikut adalah empat persoalan untuk anda pertimbangkan sebelum melakukan perubahan besar ke atas portfolio pelaburan anda.

  1. Adakah situasi kewangan anda berubah secara drastik?

Apabila situasi kewangan anda berubah yang mungkin diakibatkan oleh lumrah kehidupan, itu mungkin menandakan waktu yang sesuai untuk anda menilai semula strategi pelaburan dan memastikan strategi tersebut masih seimbang dengan situasi dan tanggungjawab kewangan anda.

Berikut adalah beberapa situasi kewangan untuk anda pertimbangkan sebelum anda mengubah strategi pelaburan:

  • Perkahwinan. Adakah anda dan pasangan ingin menggabungkan pelaburan bersama atau menguruskannya secara berasingan? Adakah anda seorang pelabur yang melakukan kajian sendiri atau lebih selesa dengan merujuk penasihat kewangan? Sebenarnya penting untuk anda dan pasangan anda mencapai kata sepakat terutamanya dalam perihal matlamat kewangan.
  • Memulakan sebuah keluarga. Mempunyai tanggungan anak sememangnya akan memberi impak yang besar ke atas matlamat kewangan anda. Ini mungkin bermaksud anda perlu menyediakan simpanan untuk pendidikan mereka atau melabur dalam dana unit amanah yang memberikan keuntungan untuk kegunaan mereka pada masa hadapan.
  • Menukar kerjaya. Tidak kiralah sama ada anda menukar kerjaya, menerima kenaikan gaji atau bonus yang besar, faktor-faktor sebegini mungkin menandakan bahawa ini mungkin waktu yang sesuai untuk anda melabur dengan lebih banyak. Namun, perlu diingatkan jika anda berada dalam situasi di mana pendapatan anda berkurangan, anda perlu melaraskan semula portfolio pelaburan anda untuk mengurangkan beban kewangan.

Dalam erti kata lain, anda harus memastikan pelaburan anda masih seimbang dengan matlamat hidup anda.

2. Adakah toleransi risiko anda berubah?

Tatkala usia anda meningkat dari 20 tahun ke 30 tahun, kemudian 40 tahun dan akhirnya 50 tahun, keupayaan anda untuk mengambil risiko mungkin berubah. Bagi setiap fasa kehidupan, anda harus menetapkan tahap risiko yang sesuai untuk pelaburan anda.

Anda mungkin tidak mampu mengambil pelaburan yang berisiko tinggi dalam usia 20-an kerana kewangan anda mungkin tidak stabil dan perlu memilih pelaburan yang lebih terjamin dan selamat seperti dana unit amanah atau tabung simpanan sendiri.

Pada usia 30-an atau 40-an, kemungkinan besar situasi kewangan anda lebih stabil. Ini bermaksud, anda boleh memilih pelaburan yang lebih berisiko seperti pasaran saham yang memberikan keuntungan yang lebih tinggi. Pada usia 50-an pula, anda boleh pertimbangkan untuk memilih pelaburan yang berisiko rendah atau sederhana sebagai persediaan persaraan anda.

3. Adakah pasaran saham mempengaruhi anda?

Mengubah pelaburan anda berdasarkan prestasi pasaran bukanlah idea yang baik, terutama sekali jika timbulnya desas-desus tentang kegawatan ekonomi. Hal ini mungkin akan merisaukan anda dan sekali gus akan mempengaruhi anda membuat keputusan yang terburu-buru.

Dalam situasi sebegini, sebelum anda mengubah strategi pelaburan, anda perlu memahami ketidaktentuan pasaran dalam jangka masa pendek dan mengenal pasti jika anda bersedia untuk berhadapan dengan ketidaktentuan tersebut.

4. Adakah prestasi pelaburan anda baik atau tidak?

Seperkara lagi tentang pelaburan jangka masa panjang: anda tidak boleh terlalu khuatir jika pelaburan anda tidak memberi keuntungan yang lumayan. Apa yang penting adalah keuntungan tersebut berkembang secara konsisten supaya perjalanan persaraan anda lebih mampan dan terjamin.

Sebelum anda membuat sebarang perubahan yang besar ke atas portfolio, anda digalakkan untuk merujuk penasihat kewangan anda dan fahami mengapa pelaburan anda menunjukkan prestasi yang sebegitu. Prinsip ini juga perlu dipegang jika portfolio pelaburan anda membuahkan hasil yang lumayan.

Sememangnya normal untuk anda berasa was-was jika pelaburan anda tidak memberikan keuntungan ataupun keuntungan tersebut melebihi apa yang anda jangkakan. Bilakah waktu yang sesuai untuk memegang dan menjual pelaburan? Adakah anda mempelbagaikan risiko pelaburan dengan tertib dan adakah anda melabur terlalu banyak atau terlalu sikit?

Sama ada pelaburan anda membuahkan hasil atau tidak, sebagai seorang pelabur anda masih perlu menyemak dan menanda aras pelaburan anda.

Kemaskini pelaburan anda melalui i-Invest KWSP

Untuk mengetahui jika anda patut mengubah strategi pelaburan anda yang mungkin terkesan akibat perubahan matlamat hidup, tahap toleransi risiko, aliran pasaran saham, ataupun sekadar berdasarkan prestasi pelaburan sendiri, anda masih memerlukan maklumat dan rujukan penyelidikan yang telus. Jika anda merupakan salah seorang ahli KWSP dan pernah melaburkan simpanan menggunakan i-Invest KWSP, anda mungkin ingin mengetahui tentang prestasi pelaburan anda di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) berdasarkan situasi semasa ekonomi.

Sebagai ahli KWSP, anda layak untuk melabur di bawah SPA

Di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA), setiap ahli KWSP layak untuk melabur sebahagian daripada Akaun 1 KWSP mereka di dalam dana unit amanah dan portfolio peribadi jika ahli KWSP tersebut memenuhi kelayakan Simpanan Asas. Produk-produk pelaburan sebegini ditawarkan oleh institusi yang diiktiraf dan mempunyai caj jualan awal yang dihadkan pada 3.0%.

Anda boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang strategi pelaburan anda yang terkini supaya anda boleh membuat keputusan yang lebih bijak dengan menyemak prestasi pelaburan anda dan kemudian membandingkan dengan penanda aras yang bereputasi seperti penilaian dan penanda aras Lipper.

Juga, elakkan diri anda daripada membuat keputusan kewangan yang terburu-buru, terutama sekali semasa kegawatan atau inflasi ekonomi yang mungkin boleh menjejaskan pelaburan anda.

Tahukah anda? Platform i-Invest KWSP mempunyai pelbagai ciri-ciri dan maklumat yang boleh membantu anda membuat pelaburan. Platform tersebut telah ditambah baik dan mempunyai ciri-ciri baharu yang telah diperkenalkan untuk memudahkan anda untuk meneliti prestasi pelaburan anda.

Apakah yang terbaharu dengan i-Invest KWSP?

Aplikasi i-Akaun yang baharu dan ditambah baik

Aplikasi i-Akaun telah ditambah baik dengan fungsi i-Invest KWSP yang baharu seperti halaman pegangan pelaburan, urusan membuat transaksi, penilaian kesesuaian pelabur, dan maklumat dana unit amanah yang diluluskan dan senarai institusi yang menawarkannya.

Semak prestasi pelaburan

Kini anda boleh menyemak butiran prestasi pelaburan anda melalui Dashboard Sejarah Prestasi Pelaburan, satu-satunya ciri yang tersedia di dalam industri pengurusan dana domestik. Pulangan pelaburan tersebut dipapar berdasarkan tahap mandat dana/peribadi, tahap institusi, dan tahap keseluruhan portfolio yang memudahkan anda untuk membuat perbandingan.

Penilian kesesuaian

Penilaian ini akan meneliti tahap toleransi risiko anda yang akan membantu anda membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum.

Simulasikan pelaburan anda

Ini merupakan ciri terbaharu yang membolehkan anda mensimulasikan objektif pelaburan anda berdasarkan lima parameter utama.

Tanda aras pelaburan anda

Kini, i-Invest KWSP mempunyai penanda aras dana unit amanah Lipper sebagai sebahagian daripada maklumat yang tersedia untuk ahli KWSP supaya anda boleh membandingkan prestasi pelaburan anda dengan dana yang lain secara serta-merta.

Kini lebih mudah untuk anda memulakan pelaburan dan mengemaskini strategi pelaburan anda dengan i-Invest KWSP. Gunakan halaman i-Akaun KWSP untuk mula melabur atau muat turun aplikasi di Android atau iOS.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.