10 Mitos Biasa Tentang Skor Kredit Yang Perlu Dibetulkan

10 Mitos Biasa Tentang Skor Kredit Yang Perlu Dibetulkan

Terdapat banyak mitos dan tanggapan salah tentang bagaimana skor kredit peribadi kami berfungsi. Adakah skor kredit ditentukan oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) Bank Negara Malaysia?

Skor kredit adalah skor tunggal yang menunjukkan kesihatan kredit anda. Ini merupakan cara paling boleh dipercayai untuk memaklumkan anda mengenai kedudukan kewangan anda. Ia juga memberikan anda petunjuk sama ada bank akan meluluskan permohonan pinjaman atau kad anda.

Anda mungkin berfikir terdapat banyak perkara yang boleh menjejaskan skor kredit anda tetapi ini sebenarnya tidak betul. Berikut adalah beberapa mitos paling biasa tentang skor kredit:

Advertisement

1. Umur saya menentukan skor kredit saya.

MITOSFAKTA
Lagi muda umur saya, lagi rendah skor kredit saya.Umur tidak penting dalam pengiraan skor kredit. Skor kredit anda bergantung pada pelbagai faktor, seperti sejarah pembayaran, campuran kredit dan baki pinjaman, tempoh sejarah kredit, permohonan kredit baru dan rekod undang-undang.

Umur tidak diambil kira apabila anda meneliti pecahan pemarkahan kredit. Ramai yang berpendapat bahawa jika mereka lebih muda, maka skor kredit mereka adalah lebih rendah. Pada hakikatnya, umur anda tidak penting. Apa yang penting ialah bagaimana anda menguruskan kredit anda.

Sebagai contoh, menggunakan kad kredit dan membayar bil dengan sepenuhnya pada setiap bulan boleh membantu anda mewujudkan skor kredit yang sihat walaupun anda masih muda.

2. Skor kredit pasangan saya mempengaruhi skor kredit saya.

MITOSFAKTA
Skor kredit saya akan terjejas jika skor pasangan saya rendah.Skor kredit adalah berdasarkan pada penilaian individu, bukan pasangan.

Jika pasangan anda pernah mengalami masalah kewangan pada masa lalu, jangan biarkan ini menghentikan anda daripada berkahwin dengannya! Skor kredit peribadi anda tidak akan terjejas oleh skor kredit buruk pasangan anda.

Walau bagaimanapun, apabila memohon untuk kredit bersama seperti pinjaman rumah bersama, gabungan skor kredit anda mungkin adalah lebih rendah daripada skor peribadi anda dan ini boleh menjejaskan keupayaan anda untuk mendapat pinjaman.

3. Mengelakkan hutang sama sekali akan membuat skor kredit saya sihat.

MITOSFAKTA
Skor kredit saya akan menjadi lebih baik jika saya tidak mempunyai hutang.Anda sebenarnya memerlukan hutang untuk mewujudkan skor kredit anda.

Kehidupan tanpa hutang mungkin dianggap sebagai idea yang baik, namun demikian, ia mungkin menyebabkan anda lebih sukar mendapat pinjaman apabila anda memerlukannya. Apabila pemiutang meneliti pengalaman seseorang dalam pengurusan hutang, mereka ingin melihat bahawa anda boleh melakukan pembayaran secara konsisten dan tepat pada masanya setiap bulan, sebelum memutuskan sama ada mereka ingin memberikan anda kredit atau pinjaman. Mempunyai sejarah pembayaran yang baik adalah penting untuk membuktikannya.

Tidak mengapa jika anda mempunyai hutang. Jika anda mampu membayar semua hutang anda tepat pada masanya, ia tidak akan menimbulkan masalah kepada skor kredit anda.

4. Anda tidak perlu menyemak skor kredit anda secara berkala.

MITOSFAKTA
Saya perlu menyemak skor kredit saya sekali sahaja.Anda dinasihatkan untuk menyemak skor kredit anda setiap tiga bulan.

Satu bahagian penting yang membentuk skor kredit ialah sejarah kredit anda. Bahagian ini boleh mempengaruhi skor kredit anda dengan mudah, tetapi ia juga bahagian yang anda boleh memperbaiki dengan cepat. Maklumat yang digunakan dalam bahagian ini dihasilkan daripada laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) anda.

Oleh itu, skor kredit anda akan berubah dari semasa ke semasa apabila anda memperbaiki pembayaran anda, atau ia akan menjadi lebih buruk jika anda terlepas melakukan apa-apa bayaran! Untuk mengekalkan kesihatan kewangan yang baik, anda disyorkan untuk menyemak skor kredit anda sekali setiap tiga bulan.

5. Menjelaskan rekod negatif bermakna ia dikeluarkan daripada laporan kredit saya.

MITOSFAKTA
Pembayaran lewat atau ingkar sebelum ini akan dikeluarkan daripada laporan kredit saya dengan serta-merta selepas saya menjelaskan pembayaran saya.Laporan kredit anda, yang adalah berdasarkan skor kredit anda, mengekalkan rekod kredit anda sehingga 12 bulan.

Laporan kredit anda merekodkan sejarah kredit anda sehingga satu tahun. Hutang yang dijelaskan tidak bermakna rekod kredit yang negatif, seperti pembayaran lewat akan dikeluarkan daripada laporan kredit anda, tetapi ia akan ditunjukkan sebagai “dibayar”.

Skor kredit anda akan mempertimbangkan laporan CCRIS anda dalam pengiraan skor, oleh itu, rekod yang negatif dijangka mempunyai kesan sehingga ia tidak lagi dipaparkan dalam laporan anda.

6. Jika saya membayar baki kad kredit saya tepat pada masanya setiap bulan, saya akan mempunyai skor kredit yang sempurna.

MITOSFAKTA
Skor kredit yang sempurna adalah dijamin jika anda membuat pembayaran tepat pada masanya.Sejarah pembayaran anda hanya membentuk 40% daripada skor kredit anda. Terdapat juga faktor lain yang diambil kira dalam pengiraan skor anda.

Anda sentiasa digalakkan untuk membayar baki kad kredit anda sepenuhnya dan tepat pada masanya setiap bulan. Namun demikian, ini tidak semestinya menjamin skor kredit yang cemerlang bagi anda. Faktor lain yang dipertimbangkan dalam skor kredit anda ialah campuran kredit, penggunaan kredit, sejarah kredit, rekod undang-undang dan tempoh sejarah kredit, dan juga jika anda menggunakan terlalu banyak had kredit anda.

Jika anda mencaj RM9,000 pada kad yang mempunyai had RM10,000, skor anda masih akan menunjukkan anda menggunakan 90% daripada kredit tersedia anda, walaupun jika anda melakukan pembayaran tepat pada masanya. Sebagai perbandingan, jika anda mencaj RM5,000 pada kad yang sama, skor anda akan menunjukkan bahawa anda hanya menggunakan separuh daripada kredit tersedia anda. Anda boleh mengimbangi ini dengan meminta had yang lebih tinggi atau menggunakan beberapa kad yang berbeza untuk membayar bil setiap bulan.

Lagi rendah nisbah hutang kepada kredit anda, lagi baik skor kredit anda.

7. Skor kredit yang rendah menjejaskan kredit saya selama-lamanya.

MITOSFAKTA
Skor kredit yang rendah akan memburukkan kedudukan kewangan saya untuk selama-lamanya.Skor kredit anda adalah berdasarkan pada sejarah kredit anda bagi tempoh 12 bulan yang lalu. Dari semasa ke semasa, anda boleh meningkatkan skor kredit anda dengan menguruskan hutang dengan berkesan.

Skor kredit anda adalah tidak kekal dan akan berubah mengikut perkembangan dalam pengurusan kredit anda. Lakukan apa yang diperlukan untuk mendapat kredit yang baik, dan anda akan ditawarkan kadar yang lebih baik untuk pinjaman anda. Rekod kredit yang negatif pada masa lampau lama-kelamaannya tidak akan begitu bermakna, selagi anda mengekalkan skor yang lebih tinggi.

8. Menutup akaun kredit akan meningkatkan skor kredit saya.

MITOSFAKTA
Penutupan akaun yang telah dibayar sepenuhnya akan meningkatkan skor kredit saya.Biasanya, menutup akaun anda mungkin membuat sejarah kredit anda kelihatan lebih pendek, justeru menjejaskan skor kredit anda.

Selepas membayar hutang kad kredit, anda mungkin berfikir lebih baik anda menutup akaun. Walau bagaimanapun, langkah ini boleh menjejaskan skor kredit anda, sebab pemiutang melihat pengalaman dengan akaun yang lama dipegang. Jika anda mempunyai kad kredit untuk tempoh yang lama, pertimbangkan untuk mengekalkannya walaupun selepas anda menjelaskan hutang. Ini akan menunjukkan kemampuan anda untuk menguruskan kredit dari semasa ke semasa.

9. Mengurangkan had kredit akan meningkatkan rekod kredit saya.

MITOSFAKTA
Mengurangkan had kredit akan meningkatkan rekod kredit saya.Mengurangkan had kredit anda hanya meningkatkan peluang untuk menjejaskan skor kredit anda, sebab ia lebih mudah untuk anda menggunakan terlalu banyak kredit.

Pernahkah anda berfikir untuk menurunkan had kredit anda kerana takut anda akan lebih berbelanja dan mendapat bil yang besar? Fikirkan semula. Dengan mengurangkan had kredit, anda boleh menjejaskan skor kredit anda. Anda kelihatan mempunyai lebih kepercayaan kredit jika anda hanya menggunakan sebahagian kecil daripada keseluruhan kredit tersedia anda, atau mempunyai nisbah penggunaan kredit yang rendah.

Malah, jika jumlah hutang bagi kad anda menghampiri tahap had kredit, maka skor anda akan terjejas. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati kerana mempunyai had kredit yang tinggi boleh menyebabkan anda menggunakan kad anda dengan lebih kerap, jadi kawalan diri adalah penting di sini.

10. Jumlah faedah yang dibayar ke atas akaun kredit akan mempengaruhi skor kredit saya.

MITOSFAKTA
Kadar faedah yang tinggi tidak baik untuk skor kredit saya.Kadar faedah tidak penting untuk skor kredit anda.

Jumlah faedah yang anda bayar atas baki yang tinggal dalam akaun kredit anda tidak akan menjejaskan skor anda.

Rekod terbukti mengenai tingkah laku kewangan yang baik serta masa akan mempunyai kesan paling ketara ke atas skor anda. Adalah bijak bagi anda membayar bil tepat pada masanya, berusaha untuk mengurangkan hutang dan membetulkan apa-apa ketidaktepatan.

Memahami fakta yang sebenar di sebalik mitos skor kredit akan membantu anda memperoleh skor cemerlang dalam pengurusan kredit anda. Jadi, luangkan masa untuk menjaga skor kredit anda, dan anda akan meraih manfaat apabila tiba masanya untuk mendapat pinjaman besar!

Leave your comment