Faktor Penting Yang Menentukan Permohonan Pinjaman Anda Diluluskan

pinjaman

Pernah tak anda ingin buat pinjaman dengan pihak bank tetapi takut permohonan anda tidak diluluskan oleh pihak bank? Ini adalah satu perasaan yang normal bagi setiap orang yang ingin memohon pinjaman seperti rumah, kad kredit, peribadi dan kereta.

Sebenarnya, jika anda tahu perkara yang pihak bank inginkan, anda tidak perlu lagi risau kerana sudah tahu dan yakin bahawa permohonan anda akan diluluskan oleh pihak bank. Maksudnya, sebelum membuat permohonan pinjaman, anda sendiri sudah boleh membuat pengiraan kelayakan pinjaman untuk diri anda sendiri..

Kami ingin kongsikan beberapa faktor penting yang anda perlu tahu sebelum memohon sebarang bentuk pinjaman dari pihak bank.

1. Jenis Pekerjaan & Pendapatan

Perkara pertama yang pihak bank akan lihat adalah pekerjaan anda sama ada bekerja dengan majikan atau mempunyai perniagaan sendiri. Bagi individu yang bekerja dengan majikan, pekerja sektor awam mempunyai skor yang lebih tinggi (mudah lulus) berbanding pekerja sektor swasta.

Manakala bagi individu yang bekerja dengan majikan serta mempunyai pendapatan yang tetap setiap bulan, lebih mudah lulus berbanding individu yang mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Hal ini kerana individu yang mempunyai pendapatan tetap lebih terjamin pendapatannya berbanding individu yang mempunyai pendapatan tidak tetap.

Pihak bank biasanya akan meminta anda untuk berikan tiga bulan penyata gaji bagi berpendapatan tetap dan enam bulan penyata gaji jika pendapatan tidak tetap.

Selain itu, pekerja yang bekerja dalam sektor yang kritikal dan berisiko tinggi juga akan menentukan sama ada permohonan pinjaman mudah lulus atau tidak. Contoh seperti pekerja dalam bidang oil & gas yang dapat dilihat ramai yang dibuang kerja kerana sektor tersebut sedang mengalami kemurungan ekonomi. Hasilnya, pihak bank sukar untuk meluluskan individu yang berlatarkan sektor tersebut.

Bagaimana pula dengan individu yang bergaji rendah? Untuk permohonan kad kredit, anda mestilah mempunyai gaji sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Tetapi, bagi permohonan pinjaman peribadi, anda boleh mohon hanya dengan gaji serendah RM1,000 sebulan.

2. Jenis Pinjaman

Tahukah anda bahawa setiap jenis pinjaman itu mempunyai tahap kelulusan yang berbeza? Maksudnya ada jenis pinjaman yang mudah lulus dan ada juga jenis pinjaman yang sukar untuk lulus oleh pihak bank. Contohnya, pinjaman perumahan lebih sukar untuk lulus kerana tempoh masa pinjaman adalah sehingga 30 tahun.

Sebaliknya, pinjaman peribadi lebih mudah untuk mendapat kelulusan kerana jumlah yang dipinjam agak kecil berbanding pinjaman lain. Walaupun begitu, kadar faedah pinjaman peribadi adalah sangat tinggi berbanding pinjaman perumahan.

3. Komitmen

Secara amnya, jika anda mempunyai banyak komitmen atau hutang dengan bank, semakin sukar untuk anda membuat pinjaman dengan pihak bank untuk yang seterusnya.

Hal ini kerana pihak bank sudah melihat komitmen anda yang tinggi menyebabkan risiko untuk gagal dalam pembayaran semula pada masa akan datang.

Jumlah komitmen anda dikira melalui kadar Debt Service Ratio (DSR). Kadar ini adalah nisbah komitmen bulanan terhadap pendapatan anda. Nisbah yang lebih besar ditafsirkan sebagai risiko tinggi, dan peluang anda untuk mendapat kelulusan bank akan berkurangan. Hutang yang terlalu banyak adalah antara punca utama kenapa permohonan pinjaman tidak diluluskan oleh pihak bank. Oleh itu, sebelum memohon pinjaman, pastikan anda sudah menyusun semula kewangan anda dengan baik.

Setiap bank dan jenis pinjaman mempunyai kadar DSR yang berbeza. Jika DSR yang diberikan oleh pihak bank adalah rendah, ini bermakna permohonan pinjaman tersebut adalah sangat ketat dan sukar untuk lulus jika pendapatan rendah.

Jika kadar DSR yang diberikan oleh pihak bank adalah tinggi, permohonan pinjaman anda adalah lebih mudah untuk lulus. Berbeza pula dengan pinjaman peribadi, permohonan lebih mudah lulus walaupun bergaji rendah.

Tetapi, jika anda tidak mempunyai sebarang bentuk pinjaman dengan pihak bank juga akan menyebabkan pihak bank sukar untuk memberi pinjaman kepada anda! Ya, ini adalah perkara yang sering berlaku dan ramai yang masih tidak tahu.

Sebelum anda ingin memohon pinjaman perumahan atau kereta, anda digalakkan untuk mempunyai pinjaman lain yang lebih kecil dengan pihak bank seperti kad kredit atau pinjaman peribadi. Dua jenis pinjaman untuk jangka masa pendek ini membantu permohonan pinjaman anda yang seterusnya.

Jika hutang anda terlalu tinggi dan membebankan, buat penyusunan semula hutang dengan menyelesaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi, dengan membuat pinjaman baru dengan kadar faedah yang lebih rendah. Cara ini akan menyebabkan anda mendapat keuntungan hasil dari kadar faedah yang lebih rendah.

4. Laporan kredit

Faktor seterusnya yang anda perlu ambil kira adalah berkenaan laporan kredit anda. Laporan in dikira berdasarkan laporan CCRIS anda, dan pihak bank akan melihat pembayaran semula ansuran bulanan anda.

Cara penghitungan laporan kredit anda berbeza mengikut bank masing-masing. Secara amnya, jika hutang sedia ada berjaya dibayar dalam masa yang ditetapkan, laporan anda akan menunjukkan skor yang tinggi.

Anda boleh menggunakan merujuk kepada agensi laporan kredit untuk mengetahui skor kewangan semasa anda. Agensi seperti RAM Credit Information (RAMCI) menyediakan laporan kredit tetapi anda perlu bersedia untuk membayar untuk perkhidmatan mereka.

iMoney CreditScore juga boleh digunakan untuk menyemak laporan kredit anda. Skor ini boleh diakses secara percuma, dan maklumat yang dipaparkan disediakan oleh pihak RAMCI.

5. Dokumen Tambahan

Akhir sekali, terdapat beberapa dokumen tambahan yang anda perlu sediakan untuk memastikan permohonan pinjaman anda mudah untuk diluluskan. Dokumen tersebut adalah seperti penyata simpanan sama ada di akaun Tabung Haji, ASB atau akaun simpanan, dan paling penting adalah bayaran cukai individu kepada LHDN jika anda memang layak.

Dokumen ini akan membantu meluluskan permohonan pinjaman anda dengan mudah. Penyata simpanan menunjukan bahawa anda adalah seorang yang baik dalam pengurusan kewangan. Manakala bayaran cukai individu pula menunjukkan semua pendapatan anda adalah sah dan telah dibayar cukai.

Lebih penting lagi adalah nama anda tidak pernah disenarai hitam oleh pihak bank atau tersenarai dalam AKPK.

Jika anda mampu mengikut dan menyediakan semua perkara diatas, permohonan anda bukan sahaja mudah untuk lulus malah kelulusan juga akan menjadi lebih cepat.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.