Apa Nak Buat Kalau Ibu Bapa Ingin Membayar Majlis Perkahwinan Anda?
Table of Contents
Merancang majlis perkahwinan boleh menjadi satu cabaran buat setiap bakal pengantin, terutama sekali mengenai hal kewangan. Jika anda dan pasangan ingin membiayai perkahwinan sendiri, sememangnya tiada masalah kerana anda dan pasangan yang akan membuat segala keputusan. Tetapi bagaimana jika ada sumber kewangan yang lain seperti ibu bapa atau bakal mertua anda? Adakah mereka kini mempunyai hak untuk membuat keputusan?
Apa-apa pun, mari kita belajar cara merancang majlis perkahwinan yang adil untuk semua pihak, sekali gus dapat menyejukkan hati ibu dan bapa anda.
Merancang bersama pasangan terlebih dahulu
Sebelum berbincang bersama ibu bapa, sebaiknya anda dan pasangan merancang dan menetapkan aspek yang terpenting untuk majlis tersebut terlebih dahulu. Ini juga merupakan waktu yang sesuai untuk anda berdua mencari dan membandingkan kos-kos perbelanjaan yang besar seperti lokasi majlis perkahwinan, baju pengantin, katering, dekorasi pelamin, juru gambar/video dan banyak lagi.
Juga, ada banyak kos-kos perbelanjaan kecil lain yang bakal pengantin selalu terlepas pandang. Antaranya seperti:
- Kad kahwin
- Kek kahwin
- Bayaran jurunikah (sila rujuk di laman web Jabatan Agama negeri masing-masing)
- Jurugambar/juruvideo
- Solekan pengantin
- Sewaan pelamin
- Perkhidmatan RELA (untuk mengelak kesesakan jalan raya dan saman polis trafik)
Kelak, ini akan memudahkan perbincangan bersama ibu bapa kerana anda sudahpun mempunyai asas perancangan yang kukuh. Cara ini lebih selamat jika anda tidak mahu perancangan anda diambil alih oleh mereka. Ini juga merupakan waktu yang sesuai bagi anda dan pasangan untuk berbincang mengenai reaksi dan soalan yang mungkin akan ditanyakan oleh kedua ibu bapa anda dan mertua.
Peringatan
Untuk perancangan yang lebih selamat, kami cadangkan anda untuk menyediakan 5% hingga 10% bajet daripada bajet keseluruhan anda bagi perbelanjaan kos-kos kecil. Tidaklah anda akan terperanjat jika anda tiba-tiba perlu mengeluarkan duit lagi.
Mulakan perbincangan bersama ibu bapa
Walaupun perbincangan ini mungkin sukar dan kekok bagi sesetengah bakal pengantin, ianya penting untuk anda menyelaraskan komitmen dan jangkaan semua pihak.
Berikan gambaran yang jelas mengenai bajet dan bagaimana bajet tersebut akan digunakan. Sebagai contoh, anda ingin mengeluarkan sebanyak RM5,000 sahaja untuk majlis perkahwinan kecil-kecilan yang hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan kenalan yang rapat. Kekalkan komunikasi yang jujur dan terbuka agar perbincangan anda lebih bertamadun dan jelas.
Kekal sopan dan positif di sebalik reaksi mereka
Selepas memaklumkan kepada mereka mengenai bajet dan perancangan anda, tunggu reaksi daripada mereka. Jika mereka tidak menyukai idea anda, tanyakan pula tentang pandangan mereka. Mungkin mereka ingin mengadakan majlis di hotel lima bintang atau mereka ingin menambah 300 jemputan saudara-mara atau rakan mereka yang anda sendiri tidak kenal.
Jika mereka memberi cadangan tanpa menyertakan sumbangan, tanyakan kepada mereka tentang jumlah yang mereka ingin berikan untuk menanggung kos-kos tambahan tersebut. Terangkan kepada mereka mengenai bajet anda yang tidak akan mencukupi dengan permintaan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan sedar bahawa cadangan mereka haruslah disertakan dengan bantuan kewangan dan bukan setakat permintaan semata-mata.
Cara merancang majlis bersama ibu bapa anda
Jangan risau, anda dan pasangan masih mempunyai kawalan penuh ke atas perancangan majlis anda. Cumanya, kini anda perlu berkongsi sedikit perancangan tersebut bersama ibu bapa anda. Antara langkah-langkah untuk merancang perkahwinan bersama ibu bapa anda adalah:
- Menetapkan had kawalan ibu bapa. Jelaskan sekali lagi kepada mereka aspek yang terpenting dan terutama bagi anda dan pasangan mengenai majlis tersebut. Sebagai contoh, mungkin anda dan pasangan sudah lama berhasrat untuk mengadakan majlis perkahwinan yang minimalis. Terangkan kepada mereka bahawa ini adalah antara aspek yang mereka tidak boleh mencampur tangan.
- Melibatkan mereka dengan tugasan tertentu. Untuk melembutkan hati mereka lagi, anda boleh memberi mereka tugasan yang tertentu dalam perancangan majlis anda. Jika mereka mempunyai pengalaman atau kepakaran dalam sesuatu aspek, mungkin mereka boleh membantu anda melalui tugasan tersebut.
Peringatan
Kerana itulah kami menasihatkan kepada anda untuk melakukan perbincangan tertutup antara anda dan pasangan terlebih dahulu, supaya mereka juga akan lebih yakin dengan persediaan dan perancangan anda.
- Menyatakan penghargaan untuk pertolongan mereka. Rata-rata semua ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Jadi, sentiasalah menyatakan penghargaan termasuk mengambil kira pandangan dan nasihat mereka. Kami pasti mereka akan berasa dihargai.
Bonus: kesilapan perancangan untuk anda elak
- Terlalu bergantung pada kad kredit. Kami menasihatkan anda untuk tidak menggunakan kad kredit untuk sebarang pembayaran yang anda tidak boleh bayar dalam tempoh satu bulan. Kami tahu betapa mudahnya untuk anda gunakan kad kredit. Tetapi, cara ini akan membebankan anda untuk jangka masa panjang. Jadi, hanya gunakan kad kredit jika anda 100% yakin yang anda mampu membayarnya. Sekaligus anda boleh mendapat ganjaran dan manfaat yang ditawarkan oleh kad kredit anda.
- Tidak merekodkan perbelanjaan anda. Merekodkan segala perbelanjaan perkahwinan anda adalah sangat penting, ini termasuk juga kos-kos tersembunyi. Antara cara untuk anda merekodkan perbelanjaan anda adalah dengan:
- Mewujudkan helaian perancangan majlis (spreadsheet)
- Membuka akaun simpanan gabungan bersama pasangan khusus untuk perbelanjaan perkahwinan
- Menggunakan aplikasi bajet di telefon pintar anda
- Mendapatkan keseluruhan bayaran perkhidmatan majlis anda (katering, andaman pengantin dan lain-lain)
- Tidak mengurangkan kos perkahwinan.
- Kadang-kala anda perlu mengurangkan kos bagi memastikan majlis anda dilangsungkan mengikut bajet anda. Jadi, utamakan perbelanjaan yang penting dan lupakan tentang perbelanjaan yang lain. Antaranya seperti:
- Mengurangkan senarai jemputan majlis
- Memilih lokasi majlis yang lebih murah
- Menyewa pakaian pengantin dan bukan membeli
- Memilih dekorasi majlis yang lebih ringkas
Pesanan buat ibu bapa
Jika anda salah seorang ibu atau bapa yang bercadang untuk memberi bantuan kewangan kepada anak anda, anda tidak ‘membeli’ hak dalam perancangan majlis tersebut. Ini mungkin kedengaran agak kasar tetapi jangan tersalah anggap – membantu anak-anak anda dari segi kewangan adalah satu tindakan yang betul dan murni, tetapi pertolongan ini seharusnya diberikan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
Pesanan buat bakal pengantin
Setiap pengantin perlu melalui perancangan perkahwinan masing-masing. Kebiasaannya sukar dan kadang-kalanya mudah kerana setiap keluarga mempunyai ikatan perhubungan yang unik dan berbeza. Kadang-kala anda perlu beralah tetapi jangan pula sampai dipijak. Apa-apa pun yang terjadi, anda dan pasangan perlu kekal teguh dan bersatu padu sebagai satu pasukan demi menjayakan majlis perkahwinan anda.
Walau apa pun prosesnya, tanamkan dalam fikiran dan minda bahawa setiap ibu bapa hanya inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Hargailah sokongan dan bantuan kewangan yang diberikan oleh ibu bapa anda tanpa menjejaskan majlis perkahwinan idaman anda.