Pinjaman Peribadi Terbaik Di Malaysia Untuk 2016

Pinjaman Peribadi Terbaik Di Malaysia Untuk 2016

Memang perlu diakui – tiada siapa pun yang suka meminjam wang, namun kadangkala situasi kehidupan meninggalkan kita tanpa sebarang pilihan.

Sama ada hendak digunakan bagi tujuan pelaksanaan projek pengubahsuaian rumah, pembaikian kereta, membiayai kos perubatan yang timbul mendadak, mahupun untuk situasi kecemasan lain yang tidak diduga, sebuah pinjaman peribadi boleh menjadi penyelamat ketika anda memerlukan wang tambahan. Kini, anda boleh memohon pinjaman peribadi secara online.

Namun, pinjaman sebegini tidak harus dilakukan sesuka hati, sebaliknya belanjawan untuknya perlu diperuntukkan serta dirancang terlebih dahulu, supaya anda tahu bagaimana untuk menguruskan pembayaran semula pinjaman tersebut.

Advertisement

Di bawah merupakan panduan pinjaman peribadi daripada kami. Ia memuatkan semua maklumat terkini bagi tahun 2016 untuk membantu anda memilih pinjaman peribadi yang paling sesuai sebelum anda membuat permohonan.

1. Pinjaman peribadi yang paling cepat diluluskan

Ada masanya kehidupan memberikan kita kejutan, dan kejutan tersebut mungkin muncul dalam bentuk kecemasan kewangan. Jika anda berhadapan dengan situasi seperti ini, terdapat pinjaman peribadi yang dapat diluluskan dengan segera. Oleh itu, anda tidak perlu risau tentang pemerolehan dana untuk kecemasan yang tiba-tiba berlaku. Pinjaman peribadi yang paling cepat diluluskan ialah:

RHB Easy-Pinjaman Ekspres

Kadar faedah (p.a.) 8.18% – 14.52%
Jumlah pinjamanRM2,000 – RM150,000
Tempoh pinjaman1 – 5 tahun
Tempoh kelulusanDiluluskan dan dibayar di cawangan Easy dalam masa 10 minit
Syarat pendapatan minimumRM1,500/sebulan
Syarat kelayakan umur21 – 55

Mengapa ia pemenang: Proses permohonannya sehabis ringkas dan mudah. Tambahan pula, dengan syarat pendapatan serendah RM1,500, pinjaman ini boleh dimohon oleh graduan baru yang mungkin memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera.

Anda perlu menjadi warganegara Malaysia untuk layak memohon pinjaman ini.

Kekurangannya: Pinjaman peribadi ini ialah dalam kalangan yang mengenakan kadar faedah tertinggi di pasaran. Yuran duti setem sekali bayar pada kadar 0.5% turut dikenakan apabila memohon pinjaman ini.

Anda juga perlu membayar penalti sejumlah RM200 sekiranya anda melangsaikan hutang pinjaman dalam tempoh 6 bulan pertama dari tarikh kelulusan pinjaman, jadi anda tidak dapat lari daripada membayar faedah walaupun anda dapat melangsaikan hutang lebih awal.

Sebaliknya, caj sebanyak 1% daripada jumlah baki pinjaman akan dikenakan untuk pembayaran ansuran. Anda turut memerlukan satu akaun terpaut.

2. Pinjaman peribadi dengan kadar faedah terendah

Jika masa menyebelahi anda, anda wajar mencari pinjaman peribadi yang mempunyai kadar faedah yang terendah. Kadar faedah yang lebih rendah bermakna kos pinjaman anda juga menjadi lebih rendah.

Sebagai contoh, pinjaman peribadi dengan kadar faedah 7.00% membawa kos berjumlah RM6,288 untuk tempoh tiga tahun bagi pinjaman berjumlah RM30,000, sementara pinjaman dengan kadar faedah 12.00% pula membawa kos RM10,788 untuk tempoh yang sama.

Setelah kami meneliti pakej-pakej pinjaman peribadi yang ada, pinjaman peribadi dengan kadar faedah terendah ialah:

Bank Islam Personal Financing-i (Tanpa Pakej)

Kadar faedah (p.a.) 6% – 7%
Jumlah pinjamanRM10,000 – RM150,000
Tempoh pinjaman1 – 10 tahun
Tempoh kelulusanSehingga 5 hari bekerja
Syarat pendapatan minimumRM3,500/sebulan
Syarat kelayakan umur18 – 60

Mengapa ia pemenang: Pinjaman ini menawarkan antara kadar faedah terendah di pasaran. Ia juga memberi tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun, oleh itu anda mempunyai banyak masa untuk mewujudkan strategi kewangan bagi pembayaran ansuran pinjaman anda.

Kekurangannya: Jangan sandarkan harapan pada pinjaman ini sekiranya anda memerlukan wang segera kerana masa yang diambil untuk memproses permohonan pinjaman anda ialah sehingga lima hari bekerja.

Pinjaman ini juga meletakkan syarat pendapatan minimum sebanyak RM3,500 sebulan yang boleh dianggap agak tinggi jika dibandingkan dengan perkhidmatan pinjaman lain yang ditawarkan di pasaran.

Caj sebanyak 1% daripada jumlah baki pinjaman dikenakan untuk pembayaran ansuran yang lewat.

3. Pinjaman peribadi dengan syarat pendapatan yang paling rendah

Kebanyakan bank lebih gemar menawarkan pinjaman kepada golongan yang berpendapatan tinggi atau yang mempunyai situasi kredit yang sihat. Namun, bagaimana pula dengan individu berpendapatan rendah yang memerlukan pinjaman peribadi untuk membantu di waktu kecemasan atau untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan?

Mujurlah terdapat bank yang tetap menjaga kebajikan individu yang berpendapatan rendah atau sederhana.

Agrobank AgroCash-i

Kadar faedah (p.a.) 6.17% – 6.62%
Jumlah pinjamanMaksimum RM200,000 untuk pegawai kerajaan;
Maksimum RM100,000 untuk kakitangan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC).
Tempoh pinjamanMaksimum 10 tahun
Tempoh kelulusanSehingga 5 hari bekerja
Syarat pendapatan minimumRM1,000 sebulan untuk pegawai kerajaan; RM2,000 sebulan
untuk kakitangan GLC.
Syarat kelayakan umur18 – 60 atau sehingga umur persaraan (yang mana yang lebih
awal) untuk kakitangan kerajaan; 21 – 60 atau sehingga umur
persaraan (yang mana yang lebih awal) untuk kakitangan GLC.

Mengapa ia pemenang: Pinjaman Agrobank AgroCash-i menyediakan pinjaman bagi pengguna terutamanya untuk aktiviti pertanian dan berasaskan agro. Pelaksanaan produk ini berasaskan transaksi Tawarruq, yang membolehkan pelanggan memperoleh dana kewangan dengan lebih mudah dan cepat.

Produk ini ternyata mempunyai kelebihan, di mana ia bukan sahaja mengenakan antara kadar faedah yang terendah di pasaran, ia juga menawarkan tempoh pinjaman maksimum sehingga sepuluh tahun. Ini bermakna anda boleh menikmati jumlah pembayaran balik bulanan yang lebih rendah sekiranya anda memanjangkan tempoh pinjaman anda.

Tambahan pula, dengan syarat pendapatan yang rendah iaitu hanya RM1,000, pakej ini adalah penyelesaian terbaik untuk mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

Kekurangannya: AgroCash-i mempunyai tempoh pemprosesan yang lama iaitu sehingga 5 hari. Jadi ia bukanlah pilihan terbaik jika anda memerlukan wang dengan kadar yang segera.

Pinjaman ini hanya terbuka kepada pegawai kerajaan atau pekerja di GLC. Kakitangan kerajaan kontrak perlu mengemukakan seorang atau lebih daripada seorang penjamin yang bekerja sebagai pegawai kerajaan yang tetap.

Di samping itu, anda juga perlu membayar RM50 untuk setiap transaksi tawarruq. Ini tertakluk kepada 6% GST.

4. Pinjaman peribadi dengan tempoh pinjaman terpanjang

Tempoh pembayaran balik pinjaman yang lebih panjang bermaksud jumlah pembayaran bulanan anda lebih rendah. Ciri ini paling sesuai bagi mereka yang ingin meminjam sejumlah wang yang banyak tetapi hanya mampu membuat pembayaran balik dalam jumlah yang kecil sahaja setiap bulan.

Namun, sejak bulan Julai 2013, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun bagi pinjaman peribadi. Oleh itu, 10 tahun ialah tempoh terpanjang yang boleh dijumpai untuk kategori ini.

Bank Rakyat Personal Financing-i Sektor Swasta

Kadar faedah (p.a.) Bermula daripada 6.16%
Jumlah pinjamanSehingga RM150,000
Tempoh pinjaman1 – 10 tahun
Tempoh kelulusanSehingga 5 hari bekerja
Syarat pendapatan minimumBermula daripada RM1,000 sebulan (bergantung kepada pakej)
Syarat kelayakan umur18 – 60 (pada akhir tempoh pinjaman)

Mengapa ia pemenang: Pinjaman ini menawarkan jumlah pinjaman sehingga RM150,000 meskipun syarat pendapatan yang dikenakan adalah rendah. Ini juga merupakan salah satu daripada pakej yang ada di pasaran yang menawarkan tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga 10 tahun, iaitu tempoh maksimum yang telah ditentukan oleh BNM untuk pinjaman peribadi.

Walaupun demikian, pinjaman ini tidak memerlukan penjamin atau apa-apa bayaran pendahuluan. Sekiranya gagal membuat pembayaran, peminjam akan dikenakan bayaran 1% setiap tahun atas jumlah baki bayaran bulanan semasa tempoh pinjaman.

Kekurangan: Tempoh kelulusan yang lama mungkin membawa kesulitan bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera.

Anda juga dikehendaki menjelaskan duti setem sebanyak 0.5% daripada jumlah pinjaman.

5. Pinjaman peribadi dengan jumlah pinjaman tertinggi

Walaupun anda mungkin berasa yang anda sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kewangan, kehidupan kadangkala membawa kita mengharungi situasi yang tidak pernah diduga.

Perbelanjaan yang tidak dirancang memang boleh terjadi tanpa jangkaan. Sebagai contoh, ahli keluarga anda mungkin tiba-tiba jatuh sakit dan memerlukan rawatan segera yang menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

Apabila berhadapan dengan kecemasan kewangan, anda bukan sahaja memerlukan pinjaman yang boleh memberikan dana dengan pantas, jumlah pinjaman tersebut juga harus mencukupi untuk membolehkan anda menghadapi situasi yang sukar. Pinjaman peribadi MAC I.O.U menggabungkan kedua-dua ciri ini untuk menolong anda di saat-saat yang mencabar.

Pinjaman Peribadi Mach I.O.U

Kadar faedah (p.a.) 7% – 13.5% / Kadar faedah pinjaman bermula daripada
12.38% hingga 24.82% bergantung kepada tempoh pinjaman.
Jumlah pinjamanRM5,000 hingga RM250,000
Tempoh pinjaman1 – 5 tahun
Tempoh kelulusanDalam masa 60 minit.
Syarat pendapatan minimumRM3,000 sebulan
Syarat kelayakan umur21 – 60

Mengapa ia pemenang: Anda cuma memerlukan MyKad dan penyata KWSP anda untuk membuat permohonan, tanpa memerlukan penjamin atau sebarang cagaran.

Ciri yang paling menawan hati tentang pinjaman ini ialah tawaran hadiah 20% pulangan tunai apabila anda menepati masa dalam membuat pembayaran bulanan. Ini akan membolehkan peminjam menikmati bayaran bulanan yang lebih rendah apabila caj faedah dikurangkan.

Tambahan pula, tiada penalti dikenakan jika anda melangsaikan pinjaman lebih awal dari tempoh pinjaman.

Kekurangan: Sebagai satu pilihan pinjaman peribadi, pinjaman Mach I.O.U tidak mempunyai kekurangan yang menonjol, melainkan syarat kelayakan pendapatan yang agak tinggi iaitu RM3,000 sebulan.

Namun, jika anda mencari pinjaman untuk jumlah wang yang tinggi, tempoh maksimum di bawah pinjaman Mach ialah 5 tahun. Ini bermaksud jumlah pembayaran bulanan adalah lebih tinggi. Pembayaran bulanan sebanyak RM3,375 untuk pinjaman berjumlah RM150,000, berbanding RM2,125 sebulan untuk tempoh 10 tahun (dengan kadar faedah 7.00% p.a.

Seperti kebanyakan pinjaman peribadi yang lain, anda juga dikehendaki membayar duti setem iaitu 0.5% daripada jumlah pinjaman, sementara caj bagi pembayaran bulanan lewat ialah 1% daripada baki jumlah pinjaman.

Jika anda sedang mencari pinjaman peribadi yang sesuai, anda haruslah beringat bahawa perbandingan kadar faedah hanyalah satu daripada banyak faktor yang perlu diambil kira. Faktor-faktor lain yang harus dipertimbangkan termasuklah tempoh pinjaman, tempoh kelulusan, caj penalti dan keuntungan lain yang boleh anda peroleh.

Untuk mendapatkan pinjaman peribadi tidaklah sukar, tetapi anda memikul tanggungjawab untuk memastikan bahawa pembayaran semula boleh dibuat tanpa sebarang kelewatan demi mengelakkan anda daripada tergelincir ke lembah masalah kewangan yang lebih dalam. Gunakan kalkulator pinjaman peribadi kami untuk mendapatkan idea di mana anda hendak bermula.

Berita baiknya ialah, dalam mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, kita boleh menjangkakan bahawa akan terdapat lebih banyak pakej pinjaman peribadi yang berdaya saing dalam tahun 2016.

Diterjemahkan oleh Noraida Harun, penterjemah bebas, Proofreader United
Imej dari Money Control

Leave your comment