Menyatukan Hutang Anda Menggunakan Pinjaman Peribadi

pinjaman-peribadi

Apakah dia penyatuan hutang?

Penyatuan hutang merujuk kepada gabungan beberapa pinjaman menjadi satu pinjaman besar. Penyatuan hutang membolehkan mereka yang mempunyai berbagai jenis hutang untuk menggabungkan semua pinjaman berkadar faedah tinggi menjadi satu pinjaman yang lebih besar yang menawarkan kadar faedah yang agak rendah. Secara umumnya, lebih banyak anda meminjam, lebih rendah kos pinjaman (iaitu kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman). Oleh itu, jika anda punyai beberapa hutang, menggunakan pinjaman peribadi untuk menyatukan mereka boleh mengurangkan faedah keseluruhan yang anda bayar.

Selain dapat menjimatkan wang faedah, penyatuan hutang juga memberi kemudahan kepada anda untuk bayar semua hutang melalui satu pinjaman. Dalam banyak hal, ramai orang yang mendapatkan pinjaman gadai janji, pinjaman kereta dan peribadi daripada institusi yang berbeza. Selain kadar faedah yang pelbagai, pinjaman-pinjaman ini juga menetapkan pembayaran yang berbeza pada waktu yang berbeza yang boleh merumitkan keadaan dan pengurusannya. Menyatukan semua hutang anda menjadi satu membantu memudahkan anda menguruskan transaksi melalui satu bayaran bulanan sahaja.

Apa yang anda perlu tahu sebelum menyatukan pinjaman anda

Ianya mungkin nampak menarik. Namun, ada beberapa perkara yang peminjam harus ingat sebelum buat pinjaman peribadi untuk menyatukan hutang. Walaupun dengan menyatukan hutang anda berpotensi menyelamatkan wang anda atas kadar faedah dan dapat bantu anda urus hutang dengan cekap, ia masih lagi bererti anda perlu keluarkan bayaran bulanan yang besar. Oleh itu, jika peminjam tak uruskan kewangan semasa dan akan datang dengan betul, mereka akhirnya akan terjebak dengan lebih banyak hutang.

Oleh itu, sebagai langkah pertama dalam mewujudkan gaya hidup kewangan yang sihat, anda hendaklah terlebih dahulu mengetahu saiz kesemua pinjaman anda, bayaran bulanan yang berbeza dan berapa lama lagi anda perlu bayar untuk setiap pinjaman. Inilah waktunya kalkulator pinjaman menjadi sangat berguna.

Langkah seterusnya ialah membandingkan jumlah hutang anda dengan pendapatan anda. Sebaik sahaja anda dah buat ringkasan kedudukan kewangan semasa anda, anda perlu selidik bank yang berbeza dan bandingkan setiap kadar faedah mereka, tawaran produk serta terma dan syaratnya. Gunakan laman web perbandingan (contohnya iMoney) untuk mempercepatkan proses ini. Walaupun idea menyatukan pinjaman anda adalah untuk memberi anda kadar faedah yang lebih rendah, adalah sama penting untuk anda fikirkan faktor-faktor lain seperti kemudahan dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman.

Akhir sekali, walaupun penyatuan hutang mungkin dapat kurangkan jumlah faedah yang anda bayar atas pinjaman yang berbeza, dalam sesetengah keadaan, ini mungkin tak berlaku. Penyatuan hutang bukanlah penyelesaian bagi hutang, ia sekadar menggabungkan semua hutang anda menjadi satu. Jika bayaran bulanan semasa anda di bawah pinjaman penyatuan hutang kelihatan kecil, ia mungkin disebabkan pinjaman dalam tempoh lebih panjang, yang bermaksud anda mungkin membayar faedah yang lebih banyak di penghujung tempoh keseluruhan pinjaman berbanding sebelumnya.

Dah bersedia nak dapatkan pinjaman peribadi? Ketahui bank mana yang mempunyai kadar faedah pinjaman termurah di Malaysia.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image