5 Perkara Yang Mengejutkan Tentang Kadar Faedah Kad Kredit

Anda baru saja terima penyata kad kredit anda dan terperanjat melihat bahawa selain dari urusniaga perbelanjaan anda, anda juga telah dikenakan denda caj kewangan dan caj pembayaran lewat dengan jumlah yang agak membimbangkan.

Apa yang berlaku?!

Anda hanya lewat dua hari saja untuk pembayaran bulan lepas.

Jangan risau.

Teruskan membaca untuk mengetahui pasal kadar faedah kad kredit supaya anda tak akan terperanjat lagi bila menerima penyata anda yang seterusnya.

Kad kredit menggunakan kadar faedah berganda

Faedah pada dasarnya ialah sewa ke atas wang. Bila anda guna kad kredit, anda meminjam wang bank untuk berbelanja dan sebagai pulangan ke pemberi pinjaman (iaitu bank ), “sewa” dikenakan ke atas wang tersebut jika anda tak bayar balik dalam tempoh tertentu.

Sehubungan dengan itu, kadar faedah berganda atau kadar faedah yang menggunakan elemen kompaun secara amnya ialah faedah atas faedah. Untuk setiap hari anda berhutang wang dengan bank melalui kredit kad, bank kenakan faedah atas jumlah hutang itu. Pada hari berikutnya, anda akan dikenakan faedah ke atas jumlah tertunggak anda, yang mana ia merupakan jumlah pinjaman bank dicampur pula dengan “sewa semalam”. Pada hari seterusnya pula, anda akan dikenakan faedah ke atas jumlah tertunggak yang baru, iaitu jumlah yang anda pinjam dicampur dengan dua hari “sewa”. Hal yang sama akan berulang tiap-tiap hari dan akan berterusan sepanjang masa sampailah anda jelaskan semua hutang anda.

Ini membawa kita kepada perkara yang berikutnya, iaitu…

Kadar faedah digandakan setiap hari

Ya, betul. Jika anda bijak (dan kami tahu anda memang bijak), anda dah tentu sedar bahawa kami menggandakan kadar faedah secara harian dalam contoh di atas.

Ini adalah kerana bank mengira caj faedah kad kredit anda secara harian. Ini bermakna kadar faedah tahunan yang dinyatakan oleh bank dibahagikan kepada 365 hari (contohnya 15% bahagi 365), and kadar itu (0.041% dalam contoh kita) darabkan dengan jumlah tertunggak setiap hari sampailah semua hutang anda dijelaskan sepenuhnya.

Maklumat penting: Kadar faedah berganda harian akan menghasil perbezaan yang ketara dalam jangka masa panjang. Dalam kes kadar faedah 15%, penggandaan harian akan menjadikannya 16.18% setahun – iaitu RM161.80 ke atas RM1,000 hutang (bukan RM150). Jadi kalau boleh, jangan tangguh bayaran yang anda mampu buat!

Struktur kadar faedah berperingkat: anda dikira bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah

Jika anda dah baca cetak halus pada jadual perbandingan kad kredit kami, anda akan dapati bahawa kadar faedah adalah berbeza-beza, bergantung kepada tabiat pembayaran anda. Ini kerana Bank Negara telah perkenalkan struktur berperingkat untuk menggalakkan disiplin dan amalan kewangan yang berhemah, di mana bank-bank ditadbir mengikut had kadar faedah berikut:

● Kadar maksimum 15% setahun – jika anda buat bayaran minimum pada masanya selama 12 bulan berturut-turut.
● Kadar maksimum 17% setahun – jika anda buat bayaran minimum pada masanya sekurang-kurangnya 10 bulan dalam kitaran 12 bulan.
● Kadar maksimum 18% setahun – selainnya.

Jadi, jika anda seorang pelanggan baru di sebuah bank, anda tergolong dalam peringkat mana?

Ya, di peringkat “selainnya”. Sebagai seorang pelanggan baru, anda secara otomatik dikenakan kadar faedah pada peringkat paling tinggi sehingga anda mempunyai rekod pembayaran 12 bulan dengan bank, dan anda hanya akan nikmati kadar faedah yang rendah dari bulan ke 13 dan seterusnya setelah anda mempamerkan tabiat pembayaran yang baik.

Petua hebat: Carilah kad kredit dengan kadar faedah rendah yang ditawarkan oleh sesetengah bank, tanpa perlu membuktikan diri anda terdahulu. Ataupun anda boleh pilih untuk berbelanja secara bijak dan secara taat membayar jumlah penuh setiap bulan supaya tak kena bayar caj faedah lansung!

Cetak halus tentang tempoh 20 hari tanpa-faedah

Malangnya kebanyakan benda di dunia ini bukanlah benar-benar percuma. Kalaupun ia benar, fikiran kita telah diasuh untuk berfikir bahawa tentu ada udang di sebalik batu. Dan anda berhak berfikir begitu.

Walaupun bank benar-benar memberi anda 20 hari tanpa-faedah untuk pembelian kad kredit, kemudahan ini adalah bersyarat. Syaratnya – anda perlu jelaskan sepenuhnya bayaran kad kredit anda pada masanya.

Jika bayaran anda kurang dari hutang sepenuhnya, anda tak dapat nikmati tempoh tanpa-faedah ini dan caj faedah mula berkumpul dari hari anda buat pembelian.

Pembayaran mengakibatkan bukan hanya caj pembayaran lewat

Anda dengan tekunnya telah membuat bayaran penuh pada masanya setiap bulan untuk mengelakkan caj faedah yang mengcekik darah. Malangnya, pada suatu hari, anda terlupa dan mendapati anda terlewat membuat bayaran setakat dua hari.

Selain dari caj pembayaran lewat, apa yang anda mungkin tak tahu ialah anda juga akan dikenakan caj faedah (atau caj kewangan, seperti yang disebut dalam penyata anda) bermula dari hari pertama bagi tiap-tiap urusniaga anda, dan bukan dari tarikh akhir pembayaran. Ini kerana tempoh 20 hari tanpa-faedah anda tak boleh dipakai lagi.

Kesannya agak menyeksa dompet sekiranya anda telah membuat satu pembelian yang besar di peringkat awal kitaran bil (ingat bahawa kadar faedah diganda setiap hari!). Jadi berilah peringatan setiap masa kepada diri anda supaya anda akan sentiasa bayar bil kad kredit tepat pada masanya.

Sukakan artikel ini? Sekarang ketahui apa yang anda tidak ketahui tentang Program Permindaan Baki Kad Kredit.

Leave your comment