Tips Membesarkan Bayi Untuk Bakal Ibu Bapa Di Malaysia

Tips Membesarkan Bayi Untuk Bakal Ibu Bapa Di Malaysia

Memang menjadi kebiasaan untuk pasangan ibu dan ayah muda untuk berasa sedikit kekok dalam menjaga bayi yang baru lahir, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menimang cahaya mata yang pertama. Tetapi, jangan cepat mengalah dan kecewa dalam menguruskan anak anda terutamanya untuk satu hingga dua tahun yang pertama. 

Artikel ini akan memberikan sedikit penjelasan dan nasihat penting untuk pasangan suami isteri baharu belajar tentang cara penjagaan bayi baru lahir – dari cara mengasuh hinggalah cara menguruskan kewangan dan keperluan bayi baru lahir.

Keperluan bayi baru lahir

Jika anda dan pasangan sedang merancang untuk melahirkan cahaya mata yang pertama, ada beberapa keperluan bayi baru lahir yang anda wajib sediakan.

1. Penyusuan untuk bayi

Jika ini merupakan bayi pertama anda, si ibu pasti rasa berdebar untuk menyusukan anak. Untuk pengetahuan anda, World Organization Health (WHO) menasihatkan untuk si ibu memberi penyusuan susu badan kepada bayi mereka sepanjang enam bulan pertama umur bayi.

Susu seorang ibu merupakan makanan paling berkhasiat untuk bayi – ini kerana ia mengandungi nutrien tertentu yang kritikal untuk perkembangan otak bayi. Juga, ia membantu melindungi bayi daripada terkena jangkitan dan penyakit seperti pneumonia, demam selesema, termasuklah virus-virus yang lain. 

Bagi membantu si ibu dan ayah untuk lebih bersedia dalam proses penyusuan, sila sediakan barang-barang penyusuan seperti:

  • Susu formula

Ada dua sebab untuk anda menggunakan susu formula: (1) Selepas tamat tempoh wajib penyusuan susu badan si ibu atau (2) jika si ibu tidak dapat menyediakan susu badan yang mungkin disebabkan daripada genetik atau gaya hidup harian. Jangan risau dan panik kerana anda masih boleh menggunakan susu formula.

Ada pelbagai jenis pilihan susu formula yang sesuai untuk anda pilih – semuanya bergantung dengan kesesuaian si manja. Kami cadang anda untuk mendapatkan pandangan doktor mengenai setiap jenis susu formula.

  • Pam & beg susu badan

Bagi mengelakkan daripada terlambat memberi susu kepada bayi, anda boleh menggunakan pam susu badan dan kemudian menyimpan susu tersebut di dalam beg simpanan (supaya susu badan lebih tahan lama). Anda digalakkan untuk mencari beg susu badan yang berkualiti tinggi kerana ada beg susu badan yang boleh disejukbekukan dan dinyahbekukan tanpa merosakkan kualiti susu badan anda.

  • Botol susu bayi

Anda digalakkan untuk menukar botol susu bayi selepas tiga bulan yang pertama kerana ketika ini perut bayi masih sensitif dan tidak matang. Si ibu dan ayah perlu sedar akan kepentingan menukar botol susu anak anda untuk mengelakkan jangkitan bakteria yang boleh menjadi punca pelbagai penyakit. 

Selepas tiga bulan pertama berlalu, anda digalakkan untuk menukar botol susu setiap tiga hingga enam bulan. Walau bagaimanapun, si ibu dan ayah mungkin perlu menukar botol susu dengan lebih kerap bergantung pada:

    • Kekerapan penggunaan
      • Jika warna botol mula berubah atau lusuh
    • Cara mencuci dan membersihkan botol
      • Kesan calar pada botol akan memudahkan pembiayakan bakteria – lebih-lebih lagi jika bahagian bawah botol tidak dibersihkan dengan baik dan sisa susu dibiarkan berkerak.
    • Cara penyimpanan dan penjagaan
      • Jika botol susu disimpan tetapi tidak dikeringkan dengan sempurna, ia akan menjadi tempat tinggal bakteria dan menyebabkan botol susu anda berbau.
      • Juga, jika botol susu dibiarkan terkena cahaya matahari atau haba yang panas dalam tempoh yang lama. Jangan tinggalkan botol susu di dalam kereta atau mana-mana tempat yang terkena cahaya matahari (direct sunlight).

Ada beberapa perbezaan antara botol susu plastik, botol susu kaca dan botol susu keluli tahan karat (stainless steel)

Botol susu plastikBotol susu kacaBotol susu keluli tahan karat (stainless steel)
HargaDari RM10 hingga RM50Dari RM150 hingga RM200Dari RM150 hingga RM300
KetahananTidak mudah pecah tetapi mudah calar dan rosakLebih susah untuk calar tetapi berisiko untuk retak/pecah jika terjatuhBotol tahan lasak dan tidak mudah rosak tetapi lebih berat untuk dibawa ke mana-mana
Bahan kimia BPAAkan wujudnya bahan kimia BPA jika botol terdedah pada cahaya matahari/suhu yang tinggiBebas BPABebas BPA

Peringatan

BPA (Bisnphenol A)  adalah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar. Botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau ‘Bebas BPA’.

Jika anak anda kerap menyusu, anda perlu menyediakan lebih banyak botol susu. Kebiasaannya, mana-mana doktor akan menggalakkan si ibu dan ayah menyediakan sekurang-kurangnya lima botol susu untuk kegunaan harian. Ambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan penghadaman dan pencernaan susu anak anda sentiasa dalam keadaan yang baik.

2. Lampin bayi

Satu lagi keperluan bayi yang para ibu dan ayah sering memandang rendah adalah lampin bayi. Secara purata, anda perlu menukar lima hingga 10 lampin untuk bayi anda setiap hari. Ada juga bayi yang memerlukan 10 hingga 15 lampin setiap hari – bergantung pada tahap penghadaman dan pencernaan bayi itu sendiri.

Kebiasaannya, para ibu bapa memilih untuk menggunakan lampin bayi jenis pakai buang. Namun, tidak semua lampin pakai buang sesuai untuk bayi anda – ada yang akan memberi ruam kepada bayi dan ada juga yang terlalu ketat atau besar untuk bayi.

Dalam proses mencari lampin bayi, para ibu bapa perlu mencuba jenis yang berlainan sehinggalah anda menjumpai lampin yang sesuai. Kami mengalakkan anda membeli lampin dalam kuantiti yang sedikit dan lihat jika ia berkesesuaian dengan si manja.

Juga, anda boleh mendapatkan pek percubaan lampin secara percuma daripada syarikat pengeluar secara terus. Berikut adalah jenis dan pautan lampin syarikat pengeluar untuk anda:

Syarikat pengeluarPautan
HuggiesHuggies.com.my
DrypersDrypers.com.my
MamyPokoMy.mamypoko.com
PetPetPetpet.com.my
MerriesWeb.kao.my
DiapexDiapex.com.my

Peringatan

Setiap syarikat pengeluar lampin mempunyai tempoh penghantaran lampin yang berlainan. Ada yang mengambil masa lebih kurang dua minggu dan ada juga yang mengambil masa sehingga satu bulan.

3. Kepentingan buku pink

klinik kesihatan ibu dan anak, buka buku merah, buka buku pink

Buku pink atau nama rasminya  – buku Rekod Kesihatan Ibu adalah salah satu perkara wajib yang anda perlu sediakan seawal enam hingga lapan minggu kehamilan. Buku ini akan digunakan di klinik/hospital kerajaan dan swasta sebagai catatan rekod kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan (sembilan bulan).

  • Pemeriksaan kesihatan selepas kelahiran bayi

Selepas melahirkan bayi anda, para ibu dan ayah masih perlu membawa bayi mereka dan juga buku pink semasa membuat pemeriksaan kesihatan selepas tiga atau lima hari kelahiran bayi, dan kemudiannya sepanjang tahun pertama umur bayi. Bergantung pada tahap kesihatan si ibu dan bayi – anda mungkin perlu melakukan pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap.

Ada situasi di mana sesetengah pasangan memilih untuk menggunakan perkhidmatan swasta dan bukannya kerajaan. Cara ini tidak salah atau betul, tetapi akan timbul masalah jika anda tidak membuka buku pink kerana kebanyakan klinik dan hospital swasta tidak mewajibkan penggunaan buku pink.

Jadi, jika terdapat sebarang masalah atau komplikasi yang memerlukan perhatian dan pemeriksaan oleh doktor pakar dari hospital kerajaan, kemungkinan besar mereka tidak akan melayan kes anda. Ini kerana kebiasaannya Klinik Kesihatan kerajaan tidak akan merawat dan memeriksa si ibu dan bayi kerana mereka tidak mempunyai sebarang sejarah rekod kesihatan anda. Kesudahannya, anda tidak boleh merujuk kepada doktor pakar kerajaan dan hanya boleh meneruskan rawatan di klinik dan hospital swasta.

Peringatan

Walaupun anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan dan rawatan di klinik atau hospital swasta, kami sangat mencadangkan anda untuk masih membuka buku pink dan membuat pemeriksaan di hospital kerajaan. Ini bermaksud, anda membuat pemeriksaan di hospital swasta dan juga hospital kerajaan. Cara ini mungkin agak rumit dan menelan belanja tetapi ia akan menyelamatkan anda dan bayi di kemudian hari.

4. Insurans bayi

Kebanyakan ibu bapa berpendapat bahawa perlindungan kesihatan untuk bayi baru lahir tidaklah sebegitu penting berbanding keperluan lain seperti makanan, susu, lampin atau pakaian bayi. Mereka terlupa bahawa keperluan perubatan si manja boleh menelan belanja yang tinggi lebih-lebih lagi jika si manja menghidap penyakit kongenital.

Jika anda sudah mempunyai kad perubatan atau insurans kesihatan sendiri, anda boleh menambah nama bayi anda sebagai nama tambahan di bawah insurans sedia ada anda. Jika anda langsung tidak mempunyai insurans, anda digalakkan untuk mengambil insurans yang menanggung seluruh ahli keluarga anda termasuklah si manja.

Berikut adalah empat sebab utama untuk anda mengambil insurans bayi baru lahir:

  • Memudahkan urusan keperluan kesihatan

Walaupun perkhidmatan di klinik atau hospital kerajaan tersedia pada bila-bila masa, kebiasaannya proses di fasiliti awam akan mengambil masa yang lama. Adakalanya anda perlu masuk ke dalam senarai menunggu yang panjang bagi sesetengah rawatan atau rundingan yang lebih mendalam bersama doktor pakar. Secara purata, anda perlu menghabiskan masa dua hingga tiga jam untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Dengan adanya insurans kesihatan untuk keluarga dan bayi, anda akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk keperluan dan perubatan kesihatan.

  • Penyakit kongenital adalah sesuatu yang biasa

Fasa tumbesaran bayi dan kanak-kanak adalah satu jangka masa yang penuh dengan risiko kecederaan dan kesihatan. Sama ada anak anda menghidap penyakit biasa seperti demam hinggalah ke penyakit jaundice (demam kuning).

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, lapan hingga 10 daripada setiap 1,000 kelahiran bayi di Malaysia menghidap penyakit jantung kongenital sejak dalam kandungan lagi. Ini bermaksud, lebih kurang 5,000 bayi baru lahir mengalami kecacatan jantung setiap tahun. 

Dengan adanya pelan perubatan bayi baru lahir, para ibu dan ayah dapat mengesan gejala-gejala penyakit dari peringkat awal. Sekaligus dapat mengurangkan kebarangkalian daripada gejala-gejala ini untuk menjadi lebih serius.

Peringatan

Keadaan kongenital adalah kecacatan struktur atau bentuk, atau kecacatan fungsi yang boleh berlaku semasa dalam kandungan dan boleh dikenal pasti sebelum lahir, semasa lahir atau pada umur lebih lewat dalam hidup.

  • Tidak perlu risau tentang kewangan

Sebagai seorang ibu dan ayah, anda mesti sudah tahu bahawa tugas utama anda adalah memastikan keperluan keluarga anda sudah serba-serbi lengkap. Ini termasuklah menjangkakan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas keluarga anda. Dengan adanya pelan perubatan atau insurans hayat, keluarga anda akan lebih bersedia dalam mengharungi setiap kecederaan kecil ataupun masalah kesihatan yang kritikal. 

Bayangkan, anda dan pasangan terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan anda berdua kehilangan upaya kekal ataupun meninggal dunia – anak-anak anda akan mendapat pelbagai bantuan kewangan dan pampasan dengan tuntutan insurans. Sekurang-kurangnnya pemergian anda akan memberikan mereka sedikit kesenangan dan manfaat untuk mereka meneruskan hidup. Jika anda tidak mempunyai sebarang pelan insurans atau perlindungan, apakah yang anda akan tinggalkan untuk mereka?

  • Melindungi si manja sehingga dewasa

Kini terdapat pelbagai pelan insurans hayat yang memberikan manfaat simpanan masa hadapan. Pelan ini boleh disertai oleh individu yang berusia antara 14 hari hingga 60 tahun. Anda juga layak untuk memohon pelan ini untuk kandungan bayi anda dari minggu ke-13 hingga minggu ke-35 kehamilan.

Sebagai contoh untuk pelan AIA A-Life Ikhtiar, jika anda meninggal dunia atau didiagnos dengan salah satu 44 Penyakit Kritikal (yang berkenaan), anak anda akan diberikan pembayaran tahunan (jumlah bergantung pada pilihan pelan anda)  sehingga si manja mencapai umur 25 tahun.

5. Pertimbangkan tiga barang bayi ini sebelum membeli

Setiap ibu dan ayah pasti akan berasa teruja untuk menimang cahaya mata mereka yang pertama, tetapi ada beberapa barangan yang anda tidak perlu membeli secara banyak. 

  • Baju bayi

Walaupun baju bayi sememangnya kecil, tetapi harganya bukanlah murah. Kalau pilih jenama yang terkenal, harganya pula akan mencecah ratusan ringgit. Para ibu dan ayah sering terlupa bahawa bayi baru lahir cepat membesar dan naik berat badannya. Jangan rugikan wang ringgit anda kerana fasa tumbesaran bayi akan berlalu dengan cepat. Tahu-tahu saja, anda anda sudah berumur satu tahun.

Juga, anda digalakkan untuk memperbanyakkan baju tidur bayi berbanding baju keluar berjalan. Mereka hanya perlu memakai pakaian yang selesa sahaja kerana bayi baru lahir akan menghabiskan masa mereka dengan tidur lebih kurang 15 jam sehari. Tunggulah sehingga selepas lima bulan jika anda betul-betul ingin berbelanja untuk pakaian bayi anda.

  • Kereta sorong (stroller)

Jika anda mempunyai bajet yang lebih dan anda berkemampuan, barulah anda membuat pembelian kereta sorong bayi. Walaupun kereta sorong bayi adalah salah satu barangan yang paling mahal, ia juga adalah pembelian yang bernas jika anda sering membawa bayi keluar bersiar-siar. Kereta sorong akan memudahkan pergerakan anda dan bayi.

Ramai para ibu dan ayah mengatakan bahawa kereta sorong adalah pelaburan yang bagus, jadi cari dan pilih kereta sorong bayi yang berkualiti.

  • Katil bayi

Sebenarnya, katil bayi bukanlah sesuatu yang wajib untuk anda beli pada peringkat awal kerana katil bayi agak mahal dan sesetengah bayi akan lebih selesa untuk tidur bersama ibu dan ayah mereka.  Jika anda ingin membantu si manja untuk tidur berseorangan, anda boleh mula memikirkan tentang katil bayi apabila umur bayi meningkat dua tahun ke atas. 

6. Kunjungi Baby Fair setiap tahun

Bagi para ibu dan ayah yang sedang mencari barangan bayi, anda boleh cuba hadir ke jualan murah Baby Fair

Baby Fair bukan sahaja mempamer dan menjual barangan bayi yang berkualiti, terdapat juga pertandingan, promosi, dan demonstrasi untuk para ibu dan ayah untuk mengambil bahagian. Sebagai contoh, harga kereta sorong yang bernilai RM1,599.00 akan dijual dengan hanya RM100.00 sahaja.

Peringatan

Ada sesetengah jenama yang akan memberikan barangan percuma seperti botol susu, pakaian bayi dan banyak lagi. Mereka akan meminta anda untuk mengikut jenama mereka di media sosial (Facebook, Instagram, TikTok dsb.) dan anda akan mendapat barangan mereka secara percuma.

Menerima dan menimang cahaya mata baru dalam kehidupan setiap ibu dan ayah adalah sebuah rezeki dan nikmat yang tidak terhitung. Ingat, ibu bapa yang selalu belajar perkara baharu akan lebih cenderung untuk berjaya dalam membesarkan anak mereka.

Jadi, banyakkan bersabar dan belajar perkara-perkara baharu sebagai seorang ibu dan ayah. Lakukan yang terbaik dalam menyediakan kelengkapan untuk permata hati anda. Semoga berjaya para ibu dan ayah!

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image