Tambah Pendapatan Anda Dengan Lelong

Tambah Pendapatan Anda Dengan Lelong

Laman sesawang ‘business to consumer (C2C)’, lelong.com.my, menghubungkan pembeli kepada peniaga. Ianya adalah laman jual-beli yang tersohor di Malaysia. Menurut laman sesawang tersebut, ia mempunyai 7,000 buah kedai maya dan dapat menarik 8 juta orang pengunjung setiap bulan. Artikel ini akan memaparkan langkah-langkah yang dapat membantu anda menjana pendapatan melalui lelong.com.my.

Apakah barang yang anda boleh jual di sini?

Kebanyakkan mengenali lelong.com.my sebagai laman yang menjual barangan elektrik dan elektronik, terutamanya komputer. Namun, ramai orang yang tidak sedar bahawa lelong.com.my turut menawarkan pelbagai barangan lain dan perkhidmatan. Sehingga kini, terdapat 38 kategori produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di laman ini. Untuk melihat semua kategori produk dan perkhidmatan yang ditawarkan melalui lelong.com.my, anda boleh mengunjungi laman lelong.com.my.

Bagaimana anda boleh mendaftar?

Salah satu kelebihan lelong.com.my ialah setiap orang pengguna yang ingin menjual produk dan menawarkan perkhidmatan perlu mengesahkan identiti mereka dengan memuat naik salinan kad pengenalan, pasport atau sijil perniagaan. Pengguna hanya boleh mula mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka setelah identiti mereka disahkan oleh pihak lelong.com.my. Oleh itu, untuk memulakan perniagaan di lelong.com.my, anda hendaklah mendaftar sebagai pengguna laman tersebut dan menunggu sehingga identiti anda disahkan.

Bagaimana anda boleh menjual barangan atau perkhidmatan?

Selepas mendaftar, anda sudah boleh mengiklankan barangan atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Terdapat tiga cara penjualan iaitu, express ad, bid now, dan sell now.

Bagi pengguna yang memilih express ad, pelanggan akan diberikan pilihan contact seller to buy this (hubungi penjual untuk membeli). Di sini, lelong.com.my akan memaparkan maklumat anda kepada pelanggan, dan pelanggan boleh terus menghubungi anda untuk melakukan pembelian. Melalui cara ini, semua transaksi selepas itu akan diuruskan oleh peniaga dan pelanggan tanpa bantuan daripada laman lelong.com.my. Cara ini sesuai bagi pembelian barangan berharga seperti rumah dan kereta serta sesuai bagi peniaga yang menawarkan perkhidmatan.

Sementara itu, pilihan bid now adalah untuk penjualan secara lelong, iaitu pelanggan akan menawarkan nilai pembelian barangan tersebut. Penjualan melalui cara ini dapat menarik minat banyak pihak kerana lelongan bermula dengan harga yang sangat murah, iaitu serendah RM0.01!

Cara ini mungkin mengambil masa yang lama. Oleh itu, jika anda tidak mahu menunggu, anda boleh memilih untuk menjual barang melalui sell now.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan cara kedua dan ketiga, semua transaksi pembelian diuruskan melalui laman lelong.com.my yang membolehkan anda dan pelanggan mengemas kini status pesanan, pembayaran, dan pengeposan. Pelanggan juga boleh mengemukakan soalan dan membuat ulasan mengenai produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Bagaimana anda boleh mengiklankan barangan atau perkhidmatan anda?

Setelah memilih cara penjualan yang paling sesuai, anda boleh mula membuat entri jualan yang akan mengiklankan produk anda. Laman lelong.com.my mempunyai paparan interaktif yang memudahkan anda untuk mengisi maklumat mengenai barangan anda dan memuat naik gambar yang boleh menarik minat pelanggan.

Untuk memastikan iklan anda menarik perhatian ramai orang, pastikan anda memberikan maklumat yang lengkap mengenai produk tersebut, termasuk saiz, warna, ukuran serta maklumat penghantaran yang tepat. Pastikan juga gambar yang disertakan jelas, berkualiti dan sebaik-baiknya gunakan gambar asal produk yang dijual. Pelanggan juga akan berasa lebih yakin apabila penjual mempunyai markah ulasan yang tinggi, dapat memberikan respon yang pantas serta dapat berinteraksi dengan mesra dengan pelanggan melalui kemudahan questions and comments di setiap entri jualan yang lalu.

Faktor kos sangat dititikberatkan oleh peniaga, terutamanya bagi mereka yang baru memulakan perniagaan. Oleh itu, lelong.com.my menawarkan pendaftaran dan ruang penjualan secara percuma kepada semua ahlinya. Pada masa yang sama, ia juga menawarkan perkhidmatan berbayar seperti featured listing yang membolehkan produk anda akan dipaparkan pada laman hadapan lelong.com.my. Perkara ini dapat menarik lebih banyak pelanggan. Perkhidmatan ditawarkan pada harga serendah RM3, tetapi pengguna boleh menambah nilai ini untuk mendapatkan lebih banyak paparan di laman tersebut.

Baru-baru ini, lelong.com.my memperkenalkan perkhidmatan premium featured. Pengguna yang telah membelanjakan lebih daripada RM50 dalam perkhidmatan listing akan mendapat lebih banyak paparan di laman tersebut. Selain itu, anda juga boleh membuka kedai maya di lelong.com.my dengan kos serendah RM1.36 sehari. Kedai maya ini dapat memudahkan proses penjualan kerana ia menawarkan kemudahan seperti reka grafik percuma, paparan mudah alih dan pembayaran ‘netpay’. Kemudahan ini bukan sahaja melicinkan urusan penjual, malah ia juga membantu pelanggan memilih dan membeli produk-produt anda.

Ciri-ciri keselamatan dan penggunaan paparan interaktif di lelong.com.my memudahkan proses jual-beli. Faktor inilah yang menyebabkan ia menjadi salah satu laman yang menjadi pilihan ramai peniaga dan pembeli. Kami berharap panduan ini dapat membantu anda yang berminat untuk memulakan perniagaan di laman tersebut.

Leave your comment