Sudah Membuat Pengeluaran Awal Simpanan KWSP? Ini Apa Yang Anda Harus Tahu

EPF withdrawal update

Sebilangan sistem pencen di seluruh dunia menunjukkan pulangan pelaburan yang memberangsangkan meskipun dihimpit pandemik COVID-19. Begitu juga dengan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) yang menunjukkan prestasi pemulihan yang konsisten.

KWSP mencatatkan pulangan pelaburan sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021. Peningkatan kira-kira 58% berbanding RM12.16 bilion yang dicatatkan pada suku tahun pertama 2020.

Prestasi yang kukuh ini mencerminkan pendekatan dan pengurusan pelaburan KWSP yang berdisiplin dan mantap. KWSP bertekad untuk sentiasa mengambil pendekatan yang wajar untuk melindungi simpanan persaraan dan pada masa yang sama memastikan keperluan kelangsungan hidup jangka pendek ahli pencarum dipenuhi.

Adakah baki simpanan persaraan ahli pencarum mencukupi?

Serentak dengan permasalahan berantai COVID-19, KWSP telah memperkenalkan pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari. Pelaksanaan ini membenarkan ahli pencarum yang terkesan mengeluarkan simpanan persaraan secara lebih awal.

Setakat Mac 2021, sebanyak 5.94 juta ahli pencarum dapat menarik nafas lega selepas permohonan i-Sinar yang berjumlah RM52.48 bilion telah diluluskan oleh KWSP.

Data daripada KWSP menunjukkan simpanan ahli pencarum yang mempunyai kurang daripada RM10,000 di dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing adalah sebanyak 6.3 juta dan 9.3 juta. Apa yang membimbangkan lagi adalah seramai 54% daripada keseluruhan 14.6 juta ahli pencarum KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM50,000.

Ini bermaksud, ahli pencarum hanya mempunyai kurang daripada RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas persaraan (55 tahun) mereka. Jumlah ini sangat rendah berbanding simpanan minimum yang disasarkan oleh KWSP sebanyak RM240,000 yang diperlukan ahli pencarum. Sasaran ini sememangnya sukar sama sekali untuk dicapai jika ahli pencarum tidak mempunyai perancangan pasca pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari.

Cabaran yang hadir pada hari ini boleh digunakan sebagai peluang untuk lebih bersedia dalam merancang simpanan persaraan. Inilah waktunya untuk anda mula belajar cara mengukuhkan kewangan untuk waktu kecemasan dan persaraan.

Adakah simpanan persaraan anda stabil?

Dalam nada yang berbeza, timbul pula kebimbangan dan tanda tanya tentang kestabilan baki simpanan persaraan mereka – berapa lamakah ahli pencarum harus menyimpan agar simpanan mereka kembali kepada jumlah asal dan adakah jumlah asal simpanan mereka mencukupi untuk keperluan persaraan? Apa yang pasti adalah kesemua ahli pencarum yang membuat pengeluaran awal KWSP harus menyimpan dari awal semula.

Jika anda sudah mengeluarkan kesemua simpanan persaraan yang telah dibenarkan oleh KWSP, berapa lama pula tempoh untuk anda menyimpan semula untuk mencapai sasaran minimum simpanan RM240,000 yang disasarkan oleh KWSP?

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata gaji di Malaysia adalah sebanyak RM3,224 sebulan pada tahun 2019. Daripada purata tersebut, jumlah caruman EPF adalah sebanyak RM714,00 (caruman ahli sebanyak 9% + caruman majikan sebanyak 13%). Jika purata gaji ini diambil sebagai contoh, berikut adalah jangkaan pulangan ahli KWSP dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Purata gaji sebulanRM3,224
Caruman bulanan KWSPRM714
Caruman 1 tahunRM8,568
Caruman selama 20 tahunRM171,360
Campuran faedah tahunan 5%RM283,309
Sumber: Pengiraan contoh menggunakan kalkulator campuran faedah dalam talian

Ini dapat membantu rakyat Malaysia yang sudah menjadi ahli pencarum KWSP untuk memulihkan simpanan persaraan mereka. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang belum menjadi ahli pencarum KWSP?

Manfaatkan caruman sukarela melalui i-Saraan KWSP

Lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang bekerja tidak menjadi ahli pencarum KWSP atau menerima pencen kerajaan. Mereka ini terdiri daripada golongan yang bekerja sendiri atau yang bekerja di sektor tidak formal.

Selaras dengan matlamat menolong golongan ini, KWSP telah memperkenalkan saluran i-Saraan bagi golongan pekerja perniagaan mikro, sektor tidak formal dan ekonomi gig yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap. Sebagai contoh, pemandu e-hailing, pemandu penghantaran makanan dan bungkusan serta pekerja bebas layak untuk mendapat faedah yang sama seperti ahli pencarum KWSP yang bekerja dalam sektor formal atau kerajaan, termasuklah sumbangan tambahan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

 

Insentif khusus ini bertujuan untuk mendorong pekerja sektor berkenaan untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan. Selain daripada caruman ini, terdapat juga caruman-caruman lain yang boleh anda mohon mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Dapatkan Khidmat Nasihat Persaraan profesional KWSP

Bagi memudahkan lagi perancangan persaraan ahli pencarum, KWSP juga menawarkan Khidmat Nasihat Persaraan untuk membantu anda mencapai pilihan persaraan yang terjamin. Melalui khidmat nasihat ini, perunding profesional KWSP akan memberikan panduan, nasihat dan pilihan yang dapat membantu pengurusan simpanan KWSP.

Lanjutan daripada itu, Khidmat Nasihat Persaraan juga menjalankan program kesedaran dan pendidikan perancangan kewangan dan persaraan. Anda hanya perlu mendaftar sebagai ahli pencarum KWSP dan kesemua faedah dan bimbingan ini akan disediakan untuk anda secara percuma.

Selain daripada saluran caruman melalui KWSP, anda juga mempunyai pilihan untuk mencarum bersama Skim Persaraan Swasta (PRS). Anda boleh memulakan simpanan persaraan anda dengan jumlah serendah RM100 (bergantung kepada penyedia pilihan anda) dan kesemua pencarum baru yang berdaftar melalui PRS Online boleh menikmati pengecualian yuran pembukaan.

Anda juga mempunyai pilihan untuk terus bekerja selepas mencapai umur persaraan (60 tahun). Bekerja selepas umur persaraan mungkin dapat mengukuhkan lagi kestabilan simpanan persaraan anda, melalui kerja sambilan atau sebarang aktiviti atau hobi yang boleh mendatangkan pendapatan. Walaupun bekerja sambilan pasca pencen memberikan pendapatan yang tidak lumayan, anda masih boleh memanfaatkan pendapatan anda. Fasa persaraan tidak bermaksud kehidupan kerjaya anda berakhir, sebaliknya ia memberikan anda peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Walaupun setiap perjalanan kewangan individu berbeza, apa yang penting adalah kesedaran dan persediaan dalam menyimpan wang untuk persaraan dan waktu sukar agar kewangan keluarga anda kekal terjamin. Bukan sahaja pada jumlah minimum malah pada jumlah yang lebih selesa.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.