Cara Menyediakan Dana Untuk Menunaikan Haji Secara Persendirian

Cara Menyediakan Dana Untuk Menunaikan Haji Secara Persendirian

Setiap muslim di Malaysia mempunyai keinginan untuk mengerjakan haji dan umrah jika mempunyai kemampuan, terutama dari segi kewangan. Oleh sebab itu, persediaan dari segi kewangan sangat penting untuk memastikan setiap orang berkemampuan untuk menunaikan haji dan umrah.

Terdapat banyak cara untuk anda membuat dana simpanan menunaikan haji dan umrah, antaranya adalah seperti menyimpan sendiri atau melalui akaun simpanan Tabung Haji seperti yang diamalkan kebanyakan rakyat Malaysia.

Di Malaysia, segala urusan berkenaan haji seperti pendaftaran, pemilihan kuota dan aturcara diuruskan oleh pihak Tabung Haji.

Advertisement

Berapakah jumlah kos untuk mengerjakan haji dan umrah?

Kos untuk mengerjakan haji yang perlu dibayar melalui Tabung Haji adalah sebanyak RM9,980 sahaja bagi tahun 2018/2019. Namun begitu, anda juga perlu tahu bahawa kos sebenar untuk mengerjakan haji adalah sebanyak RM22,450 dan subsidi sebanyak RM12,470 telah ditanggung oleh pihak Tabung Haji.

Kos yang perlu ditanggung oleh bakal jemaah haji adalah sangat rendah dan mampu milik bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Cara mudah yang sering digunakan rakyat Malaysia untuk menyediakan dana haji ini adalah melalui simpanan akaun Tabung Haji sendiri. Mereka boleh melakukan simpanan di Tabung Haji setiap tahun sementara menunggu giliran untuk menunaikan haji.

Sementara itu, kos untuk mengerjakan umrah pula berbeza mengikut pakej yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat swasta. Kebanyakan mereka menawarkan pakej umrah dengan kos sekitar RM4,500 hingga RM10,000 seorang.

Proses pendaftaran untuk menunaikan umrah pula lebih mudah kerana anda tidak perlu menunggu nombor giliran disebabkan tiada kuota yang dihadkan. Perkara ini memudahkan anda untuk menunaikan umrah mengikut musim yang sesuai dengan anda.

Peranan Tabung Haji?

Tabung Haji telah ditubuhkan pada tahun 1969 untuk membantu menguruskan ibadah haji umah Islam di Malaysia. Melalui usaha Tabung Haji, rakyat Malaysia boleh membuat simpanan dan mendaftar sebagai peserta haji dengan mudah.

Seperti dimaklumkan, Tabung Haji telah memberi subsidi yang banyak untuk membantu dan memudahkan umat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan kos yang lebih rendah. Tanpa subsidi tersebut, amat sukar untuk kebanyakan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kerana kos sebenar adalah terlalu tinggi.

Selain itu, pihak Tabung Haji juga bertanggungjawab menguruskan pemilihan bakal haji mengikut kuota yang diberikan kepada negara kita. Kuota yang terhad ini menyebabkan ramai Jemaah haji terpaksa menunggu waktu yang lama untuk menunaikan haji.

Untuk mendaftar sebagai peserta haji, anda hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM1,300 sahaja sebagai pendaftaran (boleh guna akaun KWSP) dan anda akan diberi nombor giliran untuk menunaikan haji. Secara amnya, anda perlu daftar lebih awal untuk memastikan nombor giliran anda juga awal.

Cara mengerjakan Haji dengan syarikat swasta

Selain daripada menunaikan haji melalui Tabung Haji sendiri, anda juga mempunyai pilihan lain untuk menunaikan haji melalui syarikat swasta yang telah berdaftar dengan Tabung Haji. Namun begitu, perlu diingat bahawa kos yang dikenakan kepada jemaah haji adalah lebih tinggi iaitu sekitar RM20,000 dan keatas mengikut pakej tertentu.

Untuk menunaikan haji dengan syarikat swasta, terdapat beberapa syarat utama yang anda perlu patuhi sebagai yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji sendiri. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1. Anda mestilah telah mendaftar dengan Tabung Haji sekurang-kurangnya lima tahun.
2. Anda telah mengemukakan rayuan dengan Tabung Haji untuk menunaikan haji pada tahun tersebut.

Pada masa yang sama, anda juga masih perlu mengikut kuota yang diberikan oleh pihak Tabung Haji kepada syarikat swasta yang berdaftar. Kebiasaannya, pakej yang lebih murah akan kehabisan kuota terlebih dahulu berbanding pakej yang lebih mahal.

Proses pendaftaran boleh dilakukan terus dengan syarikat swasta yang berdaftar dengan Tabung Haji. Anda boleh lakukan semakan terlebih dahulu pakej yang ditawarkan oleh setiap syarikat swasta untuk mencari yang sesuai dengan pilihan anda.

Perkara penting semasa membuat semakan adalah memastikan syarikat yang menawarkan pakej haji itu berdaftar dengan Tabung Haji. Perkara ini untuk memastikan keselamatan dan pendaftaran haji anda lebih terjamin.

Seterusnya, anda juga boleh memilih pakej yang murah dan sesuai dengan bajet anda.

Perbezaan dana melalui Tabung Haji dan syarikat swasta

Ramai individu yang gemar untuk menyimpan dalam akaun Tabung Haji sendiri kerana dividen yang diberikan adalah sekitar 6% setahun. Kadar keuntungan ini adalah sangat kompetitif jika dibandingkan dengan akaun simpanan yang lain.

Tetapi, terdapat juga akaun simpanan dan pelaburan lain yang anda boleh buka untuk dijadikan sebagai dana menunaikan haji yang memberikan dividen yang lebih tinggi. Contoh akaun tersebut adalah seperti melalui pelaburan ASB, pelaburan unit trust, pelaburan hartanah, pelaburan dari akaun takaful/insuran dan lain-lain lagi.

Kadar keuntungan serta manfaat yang anda terima juga adalah lebih tinggi iaitu sekitar 8% – 12% setahun.

Bolehkan jika anda menunaikan haji menggunakan pembiayaan?

Untuk pengetahuan anda, hukum menunaikan haji menggunakan pembiayaan patuh syariah adalah harus dan dibolehkan. Hukum ini telah dikeluarkan dan diterangkan oleh mufti Pejabat Wilayah Kuala Lumpur.

Oleh itu, pembiayaan yang patuh syariah dan tidak mempunyai riba dibenarkan untuk digunakan sebagai dana penyediaan menunaikan haji terutama melalui pakej swasta yang lebih tinggi kosnya. Bagi memastikan pembiayaan yang diambil adalah Islamik, anda boleh membuat semakan terlebih dahulu melalui iMoney.my untuk memastikan anda dapat memilih pembiayaan yang murah dan menjimatkan.

Pastikan juga jumlah pembiayaan yang anda mohon mestilah sesuai dengan kos menunaikan haji yang dikenakan oleh syarikat swasta. Perkara ini bagi memastikan anda tidak memohon pembiayaan secara berlebihan.

Leave your comment