Adakah Anda Mendapat Kelajuan Internet Yang Dijanjikan?

Adakah Anda Mendapat Kelajuan Internet Yang Dijanjikan?

Katakanlah anda baru melanggani atau menaik taraf internet daripada Pembekal Perkhidmatan Internet anda. Ia juga dikatakan murah dan lebih laju. Tetapi anda tidak merasakan sebarang perubahan sekalipun. Apa masalahnya? Adakah anda ditipu?

Tidak semestinya anda mendapat kelajuan yang anda langgani daripada Pembekal Perkhidmatan Internet anda. Jika anda melayari di internet, anda akan menjumpai pelbagai informasi dan cara untuk mengoptimumkan kelajuan internet di rumah anda. Daripada spesifikasi router dan konfigurasi port dalam router anda; semuanya ada. Jika anda tidak biasa dengan Teknologi Maklumat(IT) ia bagaikan Bahasa makhluk asing.

Jangan risau, sini dikongsi langkah asas yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan sebanyak yang mungkin kelajuan internet yang telah dijanjikan.

Advertisement

Tukar kepada router yang lebih baik

Secara amnya, rakyat Malaysia masih menggunakan wifi router dan modem percuma yang diberikan ketika melanggani perkhidmatan internet. Tahukah anda bahawa jalur lebar router ini adalah terhad.

Biasanya wifi router ini hanya boleh pancarkan isyarat maksima 1 Gbps (1000 Mbps). Ia juga mempunyai dua tetapan, satu untuk memancarkan isyarat pada frekuensi 2.4 GHz dan satu lagi pada 5GHz. Ini memainkan peranan dalam mendapatkan isyarat internet tanpa wayar dalam rumah anda. Alat yang boleh menerima frekuensi 5 GHz tak semestinya boleh menerima maklumat dari alat yang menerima frekuensi 2.4GHz dan sebaliknya.

Antara kedua-dua tetapan, 2.4 GHz memancarkan isyarat gelombang panjang manakala 5GHz memancarkan isyarat yang lebih pendek. Akibatnya, isyarat 2.4GHz mempunyai kadar pemindahan data maksima 300Mbps; manakala isyarat 5GHz meningkatkan kadar maksima ini ke 7Gbps (7000Mbps).

Walaubagaimanapun, dalam topik jalur lebar tanpa wayar, kelajuan bukan segala – galanya. Dalam kebanyakan situasi kelajuan adalah nombor satu, tetapi tiada gunanya jika ia tidak sampai ke seluruh tempat kediaman. Frekuensi 2.4GHz mempunyai kekuatan penembusan yang lebih tinggi berbanding dengan frekuensi 5GHz. Ini bermakna isyarat anda akan lebih stabil ketika menembusi dinding rumah.

Frekuensi rendah juga boleh merangkumi jarak yang lebih jauh berbanding isyarat frekuensi tinggi.
Berdasarkan maklumat di atas, anda sudah faham sedikit sebanyak dengan isyarat jalur lebar tanpa wayar daripada router anda. Berlainan router memiliki berlainan konfigurasi. Jika ingin tahu lebih mendalam, anda tidak boleh lari daripada membaca buku manual router anda.

Tambah kawasan liputan WiFi

Katakanlah anda masih ingin menggunakan kelajuan jalur lebar 5GHz tetapi isyarat tidak merangkumi seluruh rumah anda. Sudah bayar mahal, mestilah anda ingin menggunakan sepenuhnya. Jika ada kawasan rumah anda mengalami kekuatan isyarat yang lemah. Anda boleh pasang satu alat yang di panggil signal repeater.

Alat ini akan mengambil dan memancarkan semula isyarat jalur lebar tanpa wayar anda. Dengan ini anda boleh meluaskan jarak isyarat jalur lebar tanpa wayar anda di kawasan yang mempunyai isyarat yang lemah.

Ini juga salah satu cara yang efektif untuk meluaskan liputan kawasan jalur lebar tanpa wayar bagi mereka yang mempunyai kediaman yang besar.

Wayar atau tidak?

Secara terus terang, isyarat tanpa wayar tidak akan memberikan kelajuan data internet yang terpantas. Kehilangan data sentiasa berlaku.

Perhubungan cable LAN dengan router adalah cara yang paling optimum bagi mengatasi masalah ini. Tetapi cara demikian anda perlu berada berhampiran dengan router. Kebanyakan router yang disertai dengan percuma juga mempunya port cable yang terhad. Kegunaanya tidak praktikal jika keluarga yang menggunakan banyak gajet yang bersambung dengan internet.

Faktor-faktor lain

Bukan semua kelembapan kelajuan internet adalah berpunca daripada router anda. Pengkemaskinian perisian dan aplikasi juga mengakibatkan kelembapan kelajuan internet. Walaupun sukar untuk dipercayai, tetapi ia boleh jadi punca kelembapan kerana data untuk pengkemaskinian perisian boleh jadi sangat besar.

Contoh, tahukah anda bahawa perisian Windows 10 selalunya mengkemaskini persianya tanpa notis kepada pengguna? Apabila kemaskinian perisian dijalankan anda boleh perasan bahawa alat anda menjadi lebih lembap daripada biasa. Ini juga mengakibatkan kebanyakan orang menutup pengkemaskinian perisian automatik. Tetapi ini juga memberikan masalah baru kerana perisian mereka tidak dikemaskinikan kepada versi terbaru dan mengakibatkan alat mereka terdedah kepada serangan malware.

Cara terbaik untuk tangani masalah ini adalah jadualkan pengkemaskinian perisian anda pada waktu yang tiada orang menggunakan internet seperti jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Masa ini sepatutnya orang dah tidur dan bukan sibuk menghabiskan masa menonton YouTube pada hari minggu.

Akhirnya, pastikan anda bukan puncanya

Seribu satu cara untuk mendapatkan sebanyak yang boleh daripada kelajuan internet anda. Tetapi anda harus terima hakikatnya bahawa anda tidak akan mendapat keseluruhan kelajuan yang dijanjikan oleh pembekal perkhidmatan internet anda. Kebanyakan penyebapnya adalah di luar kawalan anda.

Walaubagaimanapun, anda patut mendapat lebih kurang 90% daripada apa yang dijanjikan daripada pembekal perkhidmatan internet anda. Tetapi jika anda dapat kurang daripada 80% daripada keseluruhan kelajuan, anda perlu berhubung dengan pembekal perkhidmatan internet anda.

Cara-cara untuk menguji kelajuan internet boleh dicari daripada internet dengan mudah. Pastikan anda cuba dahulu untuk mengoptimumkan rangkaian jalur lebar dirumah anda sendiri. Ia agak memalukan jika jurutera yang dipanggil ke rumah anda mengatakan bahawa anda sendiri adalah punca masalah internet anda.

Leave your comment