Apakah Personaliti Pelabur Anda?

Sesetengah pelabur secara semula jadinya adalah optimis, manakala sesetengah lagi mungkin mempunyai pandangan “gelas separuh penuh”. Tak ada salahnya dengan mana-mana jenis personaliti, tetapi bergantung kepada jenis orang, terdapat beberapa produk pelaburan yang lebih sesuai untuk mereka.

Pelabur boleh dikategori dalam salah satu dari kategori di bawah:

Berhati-hati

Pelabur yang berhati-hati akan menunjukkan keinginan kuat terhadap kepastian dan sekuriti kewangan. Mereka akan pilih sekuriti berbanding risiko; kepastian berbanding ketidaktentuan. Mereka cenderung mengelak dari membuat keputusan pelaburan sendiri, tapi jarang pula bersedia menerima nasihat profesional. Perkara ini kadang-kadang boleh mengakibatkan terlepas peluang. Bila pelabur yang hati-hati membuat keputusan, mereka jarang berubah fikiran atau buat perubahan pada portfolio mereka.

Metodikal

Pelabur yang metodikal selalunya kelihatan sebagai mempunyai gaya pemikiran berstruktur dan dipacu oleh proses. Mereka rajin menjalankan kajian tentang pelaburan dan meluangkan masa meneliti data dan laporan kewangan. Pelabur-pelabur ini agak konservatif, dan selalunya buat keputusan lebih bersandar kepada fakta dari emosi. Pelabur metodikal tidak mengambil keputusan dengan ringan, jadi kadang-kadang mereka mungkin lambat bertindak atas maklumat baru.

Individualistik

Pelabur yang individualistik adalah individu yang yakin dengan kebolehan melabur mereka, dan selalunya buat penyelidikan dan keputusan sendiri. Bila berdepan dengan ketidaktentuan, mereka akan ambil lebih banyak masa untuk mencari penyelesaian. Pelabur individualistik jarang kesal dengan keputusan yang mereka buat dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan mereka mencapai objektif pelaburan jangka panjang.

Spontan

Seperti namanya, pelabur spontan cenderung mudah berubah fikiran dan sentiasa melaras portfolio pelaburan mereka. Mereka cepat bertindak balas kepada perubahan dalam pasaran, dan akan rasa tak selesa bila tak buat apa-apa. Akibatnya, pelabur spontan sering menjadi mangsa khabar angin dan spekulasi terkini. Mereka juga menghadapi kos yang tinggi akibat selalu bertukar pelaburan.

Komen akhir

Agak mudah nak tentukan jenis personaliti anda. Kalau tak pasti, ada ujian atas talian yang dapat membantu menyingkapnya.

Setelah anda mengetahui golongan personaliti anda, anda ada peluang yang lebih baik nak elak dari buat keputusan pelaburan yang akan membuat anda kurang selesa.

Contohnya, pelabur yang berhati-hati akan lebih gemar kepada pelaburan tunai dan bon kerana kepastiannya lebih tinggi, manakala pelabur spontan selalunya mengetepikan pelaburan ini (kerana istilah “kepastian” agak jauh di fikiran mereka!).

Anda tergolong dalam jenis personaliti mana?

Suka artikel ini? Anda juga mungkin meminati 3 tip tak lapuk dek zaman dalam hal pelaburan [semua pelabur patut baca artikel ini]!

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.
newsletter image