Apa Itu Binance, Mengapa Ia Menjadi Topik Perbualan?

Apa Itu Binance, Mengapa Ia Menjadi Topik Perbualan?

Jika anda kerap menatal suapan sosial media atau bertemu dengan rakan-rakan untuk perbualan kasual, anda mungkin pernah terdengar terma Binance. Mungkin anda tahu kegunaannya adalah untuk berdagang mata wang kripto, atau untuk menjana pendapatan tambahan. Sekiranya anda pernah terlintas fikiran untuk membuka akaun Binance, mungkin anda juga tahu bahawa – perdagangan tersebut tidak diiktirafkan di Malaysia.

Apakah maksudnya bagi para pedagang dan pelabur? Ketahui segalanya tentang Binance, dan jika penggunaannya diiktiraf di Malaysia.

Apa itu Binance?

Advertisement

Binance merupakan salah satu perdagangan mata wang kripto yang terbesar di dunia. Pada 13 April tahun ini, sebanyak 40.33 bilion USD telah didagangkan dalam tempoh 24 jam – 50 kali ganda berbanding Bursa Malaysia, yang berjumlah RM3,146.74 juta (atau 0.77 bilion USD) semasa pasaran tutup pada hari yang sama.

Mengapa Binance begitu popular?

  • Pelbagai jenis mata wang kripto. Anda boleh berdagang dengan lebih daripada 150 jenis mata wang kripto yang berbeza.
  • Ciri-ciri yang lain. Anda boleh mendapat lebih mata wang kripto melalui staking, atau mengunci (menyimpan dana dalam dompet mata wang kripto untuk mendapat ganjaran), meminjam dana anda untuk pulangan faedah, mendapat ganjaran dengan menyelesaikan cabaran dan banyak lagi.
  • Fi yang rendah. Fi bermula dengan serendah 0.1% dan fi boleh direndahkan lagi kepada 0.012% jika anda menepati sesetengah syarat dagangan atau rujukan.

Selain itu, perdagangan ini juga telah menjadikan Binance Coin (pada masa penulisan) sebagai mata wang kripto yang paling bernilai di dunia, selepas Bitcoin dan Ether. Binance Coin digunakan untuk membeli dan menjual mata wang kripto lain di platform Binance, dan berfungsi untuk membayar fi dagangan. Setakat 30 Julai, ia bernilai sebanyak 309.22 USD. Hampir 1400% peningkatan pada tarikh yang sama tahun lepas, mengatasi Bitcoin, yang melonjak naik sebanyak 241% pada tempoh yang sama.

Bolehkah anda menggunakan Binance di Malaysia?

Secara rasminya tidak.

Untuk pengetahuan anda: Binance telah disenaraikan dalam Senarai Peringatan Pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang sentiasa mengenal pasti mana-mana laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran atau pengiktirafan. SC sentiasa menasihatkan para pelabur supaya tidak berdagang atau melabur bersama mana-mana syarikat atau individu yang tidak mempunyai lesen atau pengiktirafan.

Kenyataan rasmi Suruhanjaya Sekuriti meletakkan Binance dalam Senarai Peringatan adalah kerana Binance memasarkan “pasaran yang diiktiraf tanpa kebenaran”. Decrypt melaporkan bahawa Binance boleh disenarai hitamkan kerana ia membenarkan perdagangan mata wang Ringgit antara rakan-ke-rakan, tanpa kebenaran yang sah. Binance juga telah membekalkan platformnya kepada pengguna di Malaysia dan telah cuba memperkenalkan kad debit kripto di Malaysia tanpa kebenaran.

Tetapi itu tidak menghalang pengguna Malaysia daripada menggunakan platform tersebut. Kami bersua dengan seorang pedagang mata wang kripto yang memberitahu bahawa Binance masih lagi popular dalam kalangan para pedagang dan pelabur di Malaysia, disebabkan kepelbagaian jenis mata wang yang boleh didagangkan di platform tersebut.

Operasi Binance dihentikan di Malaysia

SC telah mengetatkan pengunaannya bagi pengguna di Malaysia untuk mengakses platform Binance. Setakat 30 Julai, SC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Binance kerana beroperasi secara haram. SC mengarahkan Binance untuk:

  • Menghentikan pengoperasian laman web Binance (www.binance.com) dan aplikasi telefon bimbit di Malaysia dalam tempoh 14 hari bekerja dari Julai 26, 2021.
  • Serta-merta menghentikan aktiviti media dan pemasaran, termasuklah mengedar, menerbit atau menghantar sebarang jenis pengiklanan dan/atau pemasaran, sama ada melalui e-mel atau cara lain, kepada pelabur di Malaysia.
  • Serta-merta menyekat pelabur Malaysia daripada mengakses kumpulan Telegram Binance.

SC juga mengarahkan pelabur yang mempunyai akaun Binance untuk menghentikan perdagangan dan mengeluarkan kesemua pelaburan mereka.

Ini bermaksud anda mungkin tidak akan dapat mengakses Binance dalam masa terdekat, melainkan anda menukar tetapan DNS atau menggunakan hubungan VPN. Namun, berdagang di platform Binance bukanlah sesuatu yang mudah. Binance mungkin akan menyekat deposit dan pengeluaran Ringgit di platform mereka – sama seperti apa yang terjadi di U.K, selepas platform itu diharamkan.

Adakah Binance masih selamat digunakan?

Suruhanjaya sekuriti merupakan sebuah institusi yang boleh dipercayai buat para pedagang dan pelabur. Mereka menyediakan inisiatif pendidikan pelaburan dan peraturan supaya kita sentiasa selamat daripada sebarang penipuan. SC mengingatkan, “Pelabur yang berurusan bersama entiti atau individu yang tidak mempunyai lesen atau pengiktirafan akan terdedah kepada pelbagai jenis risiko, termasuk penipuan dan pelaburan wang haram, dan mungkin tidak akan mendapat bantuan jika berlakunya kesulitan.”

Walaupun pelabur di Malaysia dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan entiti yang tidak berlesen, berada dalam Senarai Peringatan SC tidak bermakna sesebuah platform itu mempraktikkan penipuan. Binance tidak mempunyai lesen atau dikawal selia di Malaysia, tetapi terdapat perdagangan lain di bawah nama Binance, termasuklah Binance Singapore dan Binance.US, yang mematuhi peraturan tempatan di negara masing-masing.

Source: User-submitted image on Facebook

Jika anda memilih untuk melabur bersama Binance melalui VPN, anda mengambil risiko tersendiri. Dan risikonya tinggi – sepintas lalu pembacaan di subreddit Binance menunjukkan pelbagai bebenang yang tidak memuaskan daripada pengguna yang kehilangan token atau terkunci daripada akaun mereka sendiri.

Menurut pengguna-pengguna ini, khidmat pelanggan Binance mengambil masa membalas kes mereka selepas beberapa minggu.

Sesetengah penduduk US mengkongsikan bahawa mereka hanya dapat menyelesaikan isu akaun mereka selepas melaporkan kepada Biro Perlindungan Kewangan Pengguna. Pengguna di Malaysia tidak mempunyai pilihan ini, kerana perdagangan Binance tidak diiktirafkan di sini.

Baru-baru ini, seorang pengguna Malaysia dari kumpulan Binance Facebook mengkongsikan akaun pengguna tersebut telah dikunci semasa ingin membeli mata wang kripto dengan menggunakan kad BigPay. Apabila dia cuba menghubungi khidmat pelanggan, dia dimaklumkan bahawa dia dikenal pasti sebagai pengguna dari “negara yang tidak disokong”, dan servis Binance tidak lagi tersedia. Akhirnya, pengguna tersebut tidak dapat mengeluarkan aset daripada akaun tersebut.

Apakah pilihan lain?

Jika anda mahu berdagang secara selamat, anda boleh mencuba dagangan mata wang kripto yang diluluskan oleh SC. Ketika ini, terdapat tiga jenis platform yang tersedia: Luno, SINEGY, dan Tokenize. Platform-platform ini tidak menawarkan jenis token yang banyak seperti Binance, atau ciri tambahan seperti mengunci, tetapi platform-platform ini boleh digunakan di Malaysia. Jika berlaku kesulitan, anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelesaikannya melalui saluran-saluran rasmi.

Leave your comment