Apakah Itu Insurans Dan Yang Mana Satukah Saya Perlukan?

Inilah cara mengenal pasti insurans manakah yang paling sesuai bagi anda.

Ini adalah satu cabaran untuk anda: cuba ambil payung. Buka dan payungkan kepala anda. Sekarang adakah anda rasa lebih yakin untuk berjalan ke luar? Tidak kira hujan atau panas, anda akan dilindungi. Begitulah umpama perlindungan insurans kepada anda.

Apakah itu insurans?

Jika payung melindungi anda daripada cuaca buruk, insurans pula melindungi anda daripada potensi risiko kemalangan, kehilangan pendapatan, aset mahupun nyawa, serta malapetaka lain yang mungkin berlaku kepada anda. Fikirkan sejenak, jika sesuatu berlaku kepada anda hari ini yang akan menjejaskan keupayaan anda untuk memperoleh pendapatan, bagaimana anda ingin menyediakan keperluan keluarga serta menampung kos perubatan untuk anda pulih semula? Perlindungan insurans akan membuatkan anda lebih tenang kerana sekiranya sesuatu berlaku, anda dan keluarga telah mempunyai jaringan keselamatan.

Pelan insurans adalah produk perlindungan konvensional manakala pelan takaful ialah produk perlindungan berlandaskan prinsip syariah. Ada banyak jenis insurans dan takaful yang menyediakan perlindungan bagi pelbagai jenis risiko, jadi pada hari ini kami akan membantu anda mengenal pasti insurans manakah yang paling sesuai bagi anda.  

Apakah jenis pelan insurans yang ada?

Secara umumnya, insurans terbahagi kepada insurans hayat dan insurans am.

🏥 Insurans Hayat

Menyediakan perlindungan sekiranya berlaku kematian, menghidap penyakit, hilang upaya dan kemasukan hospital. Kebiasannya tempoh perlindungan adalah lebih daripada setahun dan pembayaran premium boleh dibayar secara bulanan, suku tahunan, setengah tahun atau tahunan, bergantung kepada pilihan anda. Berikut adalah jenis pelan insurans hayat yang anda boleh pertimbangkan:

  • Insurans sepanjang hayat – seperti yang digambarkan, perlindungan ini adalah untuk sepanjang hayat anda dengan ciri-ciri nilai tunai.
  • Insurans hayat berjangka – perlindungan bagi tempoh tertentu, biasanya sehingga 30 tahun.
  • Insurans endowmen – insurans hayat ditambah dengan pelan simpanan, biasanya bagi tempoh perlindungan lebih singkat antara 10-20 tahun.
  • Penyakit kritikal – memberikan anda pembayaran sekali gus sekiranya anda menghidapi salah satu daripada 36 penyakit kritikal antaranya seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan strok.
  • Insurans hilang upaya – menyediakan manfaat kepada anda secara  berkala sekiranya anda mengalami kecacatan fizikal atau mental.
  • Insurans berkaitan pelaburan – ia merupakan insurans hibrid yang menyediakan perlindungan insurans dan komponen pelaburan yang dilaburkan ke dalam dana pelaburan berdasarkan pilihan risiko anda. Pelan insurans pendidikan adalah satu bentuk insurans berkaitan pelaburan yang menyediakan perlindungan kematian dan hilang upaya kekal dengan komponen pelaburan untuk membina dana pendidikan anak anda.

Jika ini adalah langganan insurans pertama anda, mungkin anda kurang berkemampuan untuk membayar premium yang tinggi. Anda boleh mulakan dengan insurans hayat berjangka kerana ia lebih murah berbanding insurans sepanjang hayat dan insurans berkaitan pelaburan.

Setelah kedudukan kewangan anda lebih stabil, anda boleh memilih insurans sepanjang hayat kerana ia menyediakan ciri-ciri nilai tunai yang boleh berfungsi sebagai simpanan kepada anda. Namun, apabila risiko kesihatan semakin meningkat seiring dengan peningkatan usia, barangkali lebih bijak untuk menambah perlindungan lain seperti penyakit kritikal jika ia belum lagi termasuk dalam pelan insurans hayat yang anda ada.  

🏡 Insurans Am

Insurans am melindungi barangan peribadi anda daripada kerugian akibat kecurian atau kerosakan. Contoh insurans am termasuk insurans perjalanan, kecurian, perubatan, kemalangan peribadi dan kebakaran.

  • ✈️ Insurans Perjalanan melindungi anda daripada kerugian yang mungkin anda alami semasa dalam perjalanan seperti kehilangan bagasi, kelewatan dan kecemasan perubatan di luar negara.
  • 💸 Insurans Kecurian menyediakan perlindungan terhadap kerugian akibat daripada rompakan atau kecurian. 
  • 🏥 Insurans Perubatan menyediakan perlindungan terhadap perbelanjaan perubatan anda seperti bil pembedahan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan penyakit.   
  • 🤕 Insurans Kemalangan Peribadi merangkumi kecederaan akibat kemalangan seperti luka kebakaran atau patah tulang, dan akan menanggung kos anda dimasukkan ke hospital dan rawatan pemulihan.
  • 🔥 Insurans kebakaran adalah insurans harta tanah yang melindungi rumah anda jika ia rosak atau musnah akibat kebakaran.

Tempoh perlindungan bagi insurans am biasanya setahun dan premium dibayar sekali gus atau tahunan.

Pelan insurans manakah yang saya perlukan?

Terdapat banyak faktor yang perlu anda pertimbangkan semasa memilih insurans yang anda perlukan sekarang ataupun kemudian.

Anda perlu memiliki sekurang-kurangnya satu polisi insurans yang melindungi penyakit dan kehilangan pendapatan akibat kemalangan atau kematian. Terutamanya, apabila bekerja sendiri, adalah langkah bijak untuk mempunyai insurans kerana anda berisiko berhadapan situasi pendapatan yang tidak menentu apabila ditimpa sebarang kemalangan atau kecemasan. Dalam hal ini, anda boleh pertimbangkan insurans hayat berjangka kerana ia menyediakan perlindungan asas yang diperlukan.

Insurans kemalangan peribadi antara pelan insurans yang menjadi pilihan ramai. Anda mungkin memerlukan pergerakan di jalan raya dalam menyelesaikan tugasan. Dengan insurans kemalangan peribadi ia menyediakan perlindungan sekiranya anda berhadapan kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan, ketidakupayaan kekal atau kematian.

Setelah melanggan pelan insurans, terutamanya insurans kesihatan, anda perlu juga bersedia dengan kenaikan premium bergantung kepada usia anda dan peningkatan risiko penyakit. Justeru, anda dinasihatkan untuk memiliki pelan insurans seawal mungkin sebelum risiko menghidapi masalah kesihatan.

Akhir sekali, semak perlindungan anda sebelum melanggan pelan insurans baharu agar tidak memiliki manfaat insurans yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pelan insurans hayat anda telah merangkumi manfaat penyakit kritikal, anda tidak lagi memerlukan insurans perubatan. Tidak ada salahnya untuk anda hubungi penasihat kewangan dalam mendapatkan nasihat mengenai pelan yang lebih sesuai mengikut keperluan semasa anda.