Bagaimana Membina Jaringan Keselamatan Kewangan Ketika Fasa Pekerjaan Pertama Anda

Sebelum tersilap langkah, fikirkan kesejahteraan kewangan anda.

Apabila anda berada dalam dunia pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri, semestinya banyak persoalaan yang bermain di fikiran anda bagaimana untuk membelanjakan gaji anda, bukan? Antara jawapan yang sering kita dengar ialah membeli telefon mudah alih terbaharu, ingin memiliki kenderaan pertama, membeli barangan berjenama, pergi melancong dan sebagainya.

Sebelum tersilap langkah, apa kata anda fikirkan bagaimana anda boleh mula membina jaringan keselamatan kewangan anda?

Apa yang patut anda lakukan ketika fasa pekerjaan pertama anda?

Perkara pertama yang perlu anda ambil berat ialah merancang jaringan keselamatan kewangan. Hindari beberapa kesilapan kewangan yang sering berlaku seperti;

  • Menyalahgunakan kad kredit dan berbelanja lebih daripada kemampuan
  • Memenuhi keinginan gaya hidup seperti membeli telefon bimbit terbaharu, pakaian berjenama dan kereta import
  • Mengambil hutang baru seperti kad kredit dan tidak menyelesaikan hutang pinjaman pendidikan
  • Tidak merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan
  • Membuat pelaburan yang tergesa-gesa

Walaupun anda mempunyai pekerjaan dan berpendapatan tetap, ia tidak bermaksud anda telah mencapai kestabilan kewangan. Membina jaringan keselamatan kewangan merupakan satu proses yang panjang kerana ia memerlukan perancangan yang bijak dalam menguruskan kewangan dan menetapkan matlamat menyimpan.

Bagaimana membina jaringan kewangan anda?

Lihat bagaimana anda boleh memulakan jaringan keselamatan kewangan untuk diri anda.

1. Cipta matlamat kewangan anda

Untuk membina jaringan keselamatan kewangan yang kukuh, anda boleh mengasingkan matlamat kewangan anda mengikut jangka masa berikut:

Untuk memastikan jaringan keselamatan kewangan yang kukuh, anda harus realistik dalam membuat persediaan awal kerana perancangan yang baik dapat meringankan beban anda apabila berhadapan dengan perkara yang tidak diingini.

Sebagai contoh, jika anda menyimpan dan melabur RM100 sebulan dengan pulangan konservatif sebanyak 3% setahun, simpanan anda boleh mencapai RM40,000 selepas 25 tahun. Dalam mencapai matlamat simpanan berjumlah RM100,000, anda  boleh menetapkan matlamat secara berperingkat seperti RM10,000, RM50,000, dan RM100,000 dalam 3, 5 dan 10 tahun.

2. Rancang perbelanjaan anda

Perancangan perbelanjaan anda boleh dilakukan dengan sangat mudah.

Apa yang anda boleh lakukan adalah mengasingkan perbelanjaan tetap setiap bulan daripada pendapatan anda. Antara perbelanjaan tetap yang perlu diasingkan ialah kos pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman serta komitmen lain dalam kehidupan seharian anda.

Anda juga digalakkan untuk merancang perbelanjaan tambahan termasuk perbelanjaan asas seperti kos pakaian, bil telefon dan perkhidmatan internet.

Beberapa kaedah yang anda boleh gunakan dalam merancang kewangan adalah seperti:

  • Kaedah 10-10-10-70 menurut Chief BerUang, ikon menyimpan PIDM. Anda digalakkan mengasingkan wang gaji anda kepada beberapa bahagian, 10% untuk simpanan, 10% untuk kecemasan, 10% untuk insurans dan 70% untuk perbelanjaan.
  • Kaedah sampul. Ini boleh dilaksanakan dengan membahagikan pendapatan anda ke dalam sampul surat mengikut perbelanjaan tertentu. Sebagai contoh, anda boleh mengasingkan wang untuk membayar sewa rumah ke dalam sampul yang telah ditanda ‘sewa rumah’ dan ia tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
  • Membina bajet asas-sifar. Konsep bajet asas sifar pada dasarnya sama seperti kaedah sampul, kerana setiap ringgit wang gaji anda perlu diasingkan mengikut tujuan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai lebihan RM500 selepas mengasingkan gaji anda mengikut perbelanjaan dan komitmen, ia perlu diperuntukkan untuk tujuan tertentu sahaja seperti tabung kecemasan.

Dengan merancang perbelanjaan, anda dapat memastikan tidak berbelanja melebihi kemampuan anda.

3. Dapatkan perlindungan insurans

Perlindungan insurans dapat melindungi diri anda sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak dijangka.

Dalam mendapatkan perlindungan menyeluruh, terdapat dua jenis insurans yang boleh anda pertimbangkan:

4. Mulakan tabung kecemasan

Anda boleh memulakan simpanan tabung kecemasan dengan mengasingkan sejumlah daripada pendapatan anda untuk tabung ini.

Tabung kecemasan  amat berguna apabila anda ditimpa musibah yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, kerosakan kenderaan, masalah kesihatan dan lain-lain. 

Berapakah jumlah tabung kecemasan yang perlu disediakan? Anda digalakkan untuk mempunyai jumlah yang cukup untuk menampung perbelanjaan anda selama 6 bulan.

Lihat contoh berikut bagaimana seorang individu boleh merancang kewangan untuk mencapai sasaran tabung kecemasan:

Anda harus berdisiplin dalam memulakan simpanan tabung kecemasan dan tidak menggunakan tabung kecemasan ini sewenang-wenangnya.

Jaringan keselamatan kewangan sangat penting untuk ketenangan minda anda

Mungkin anda masih baharu di alam pekerjaan dan belum dibebani pelbagai komitmen yang tinggi. Jadi sebaiknya ambil peluang ini untuk mula mencipta jaringan keselamatan kewangan dengan bijak agar anda kelak tidak dibebani masalah kewangan.

Mempunyai jaringan keselamatan kewangan yang kukuh juga menyumbang kepada kesihatan kewangan dan minda anda. Oleh itu, jadikan panduan di atas sebagai persediaan awal untuk capai jaringan keselamatan kewangan yang anda inginkan. #SediaPayungKewangan