Apa Yang Anda Harus Lakukan Sebelum Buy Now, Pay Later?

Apa Yang Anda Harus Lakukan Sebelum Buy Now, Pay Later?

Secara asasnya, platform Buy Now, Pay Later (BNPL) bertujuan untuk memudahkan aliran kewangan pembeli dengan membahagikan pembelian besar kepada ansuran bulanan. Kini, di Malaysia seperti Atome, PayLater oleh Grab, SpayLater oleh Shopee dan Split telah meluaskan kategori pilihan barangan mereka daripada barangan keperluan dan kehendak kepada barangan bukan kepentingan. Jadi, lindungi hak anda sebagai pengguna sebelum menggunakan BNPL.

Apa sebenarnya Buy Now, Pay Later?

Sebenarnya, tidak semua platform BNPL berfungsi cara yang sama. Setiap platform mempunyai terma dan syarat termasuklah kadar faedah & caj tersendiri. Namun, kebiasaannya platform BNPL berfungsi dengan cara berikut:

  1. Selepas anda memilih untuk membayar apa-apa barang menggunakan platform BNPL, anda perlu mengisi beberapa butiran tentang diri anda.
  2. Jika pilihan ini diluluskan oleh platform BNPL anda, platform tersebut akan ‘membayar’ pembelian anda kepada peniaga asal secara penuh.
  3. Kemudian anda hanya perlu membayar kepada platform BNPL tersebut (bukannya peniaga) melalui kad kredit, kad debit atau akaun bank anda sehinggalah anda menyelesaikan ansuran bulanan pembelian tersebut.
  4. Cara pembayaran ansuran akan bergantung kepada platform BNPL pilihan anda – kebiasaannya tiga sehingga enam bulan.

Sebagai contoh, Atome akan membahagikan pembayaran anda kepada tiga ansuran bulanan. Pembayaran pertama adalah secara serta-merta ketika anda membuat pembelian di platform Atome. Selepas itu, anda perlu membuat pembayaran kedua dan ketiga setiap sebulan sekali.

Kelebihan & kekurangan Buy Now, Pay Later

Seperti yang sudah dijelaskan di sini, berikut adalah beberapa lagi kelebihan dan kekurangan BNPL:

Kelebihan

  • Kaedahnya yang senang untuk digunakan. Sebaik sahaja anda membuat pembayaran pertama, platform BNPL akan menghantar emel kepada anda. Emel tersebut akan memberikan segala butiran termasuklah jadual ansuran bulanan anda. Juga, anda boleh membuat pembayaran melalui kad debit, akaun bank, dan sesetengah platform menawarkan pembayaran melalui kad kredit pada tempoh ansuran yang lebih fleksibel.
  • Mudah untuk membuka akaun BNPL. Kebiasaannya, hampir kesemua platform BNPL akan memeriksa rekod pembayaran atau skor kredit anda, tetapi tidak setelus seperti pemeriksaan kad kredit. Anda hanya perlu menyediakan maklumat ringkas seperti nama penuh, tarikh lahir, alamat emel, nombor telefon dan tempoh ansuran bulanan anda.
  • Pembayaran ansuran secara automatik. Anda tidak perlu menggunakan deposit tunai di ATM atau log masuk perbankan dalam talian anda setiap bulan untuk membuat pembayaran ansuran. Sebaliknya, pembayaran ansuran bulanan anda akan ditolak melalui kaedah yang anda gunakan semasa anda membuat pembayaran buat kali yang pertama.

Kekurangan

  • Ansuran bulanan BNPL mudah untuk bertindih. Sebagai contoh, pada bulan ini anda membeli peti ais baharu yang berharga RM1,500, suatu jumlah yang anda tidak mampu membayar sekali gus. Tetapi dengan pelan BNPL, anda hanya perlu membayar RM375 selama 4 bulan. Pada bulan depan pula anda membeli telefon pintar terkini berharga RM2,000, dengan ansuran bulanan sebanyak RM400 selama 5 bulan. Kemudian anda membeli aksesori kereta berharga RM600, dengan ansuran bulanan sebanyak RM200 selama 3 bulan. Kini, jumlah keseluruhan ansuran bulanan anda adalah RM975 setiap bulan. Ini tidak termasuk caj pembayaran lewat jika anda terlewat membayar ansuran bulanan anda. Secara tidak sedar, anda terjerat di dalam kitaran hutang. Ini akan menyukarkan aliran kewangan anda jika anda memerlukan barang yang lebih mustahak atau jika berlakunya kecemasan yang melibatkan wang.
  • Tiada mata ganjaran atau pulangan tunai. Buat masa ini, hampir kesemua platform BNPL tidak menawarkan mata ganjaran atau pulangan tunai untuk anda. Tidak seperti kad kredit, di mana kebanyakkan kad kredit memberikan manfaat istimewa, contohnya seperti 5% pulangan tunai untuk perbelanjaan petrol, makanan, utiliti dan barangan runcit jika anda menggunakan RHB Kad Kredit Smart Value.

Apa yang anda harus lakukan sebelum Buy Now, Pay Later

Sama ada anda harus menggunakan BNPL atau tidak, itu terpulang kepada setiap persediaan individu masing-masing. Namun begitu, berikut adalah beberapa tips penting sebelum anda Buy Now, Pay Later:

1. Teliti terma dan syarat platform BNPL

Sebelum anda membuat pembelian, baca dahulu terma dan syarat platform BNPL pilihan anda tentang:

  • Cara pembayaran balik jika anda ingin memulangkan barangan tersebut, atau barangan tersebut hilang semasa proses penghantaran atau rosak semasa anda menerimanya. Sebagai contoh, PayLater oleh Grab akan mengambil masa tiga hari untuk membuat pembayaran balik, dan pembayaran akan dibuat ke dalam Dompet GrabPay anda.
  • Hak anda sebagai pembeli jika platform BNPL atau peniaga tidak memulangkan semula wang anda. Sebagai contoh, Atome tidak akan memproses pembayaran balik anda. Sebaliknya, anda perlu menghubungi peniaga asal secara terus. Jika berjaya, pembayaran balik akan dibuat dalam masa 10 hingga 15 hari bekerja.

2. Semak kadar caj pembayaran lewat

Setiap kali anda terlepas membuat pembayaran ansuran bulanan, anda akan dikenakan caj pembayaran lewat. Juga, setiap platform BNPL mempunyai kadar caj pembayaran lewat yang berlainan. Sila semak di sini untuk melihat setiap kadar caj pembayaran lewat platform BNPL di Malaysia.

3. Kenal pasti tabiat perbelanjaan anda

Individu yang mempunyai masalah perbelanjaan, skor kredit yang tidak baik atau mereka yang susah untuk mengawal emosi semasa membeli mungkin akan lebih terjejas dengan kaedah BNPL ini. BNPL memupuk tabiat suka berhutang dan pembelian impulsif. Jadi, jika anda disaat sedang membangunkan ekonomi anda sendiri, lebih baik jika anda membeli apabila anda mempunyai kuasa untuk membeli.

Berikut adalah beberapa lagi soalan untuk anda pertimbangkan mengenai BNPL:

  • Adakah anda akan membeli barangan tersebut jika kaedah BNPL tidak tersedia?
  • Adakah pembayaran BNPL sesuai dengan bajet bulanan anda?
  • Adakah pembayaran ansuran BNPL akan menjejaskan simpanan kecemasan anda?
  • Adakah anda akan lebih bermanfaat jika pembelian dibuat melalui kad kredit?
  • Adkah anda ingin menggunakan pembayaran ansuran secara automatik? Jika ya, pastikan anda sudah mengetepikan wang untuk ansuran tersebut. Jika tidak, amsukkan ansuran tersebut ke dalam bajet bulanan anda supaya anda tidak terlupa atau terlepas tarikh pembayaran.

Sepuluh kali ukur, sekali kerat

Walaupun kita mempunyai disiplin kewangan yang tinggi, kadang-kala kita akan terlepas pandang dengan perbelanjaan bulanan kita. Teliti terma dan syarat setiap Platform BNPL dan peniaga asal kerana mereka mempunyai polisi yang berbeza. Pastikan setiap pembelian sesuai dengan bajet bulanan anda dan yang paling penting sekali adalah berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Get free weekly money tips!

*Free of charge. Unsubscribe anytime.